Berita Utama

Rakyat berhak tahu maklumat mengenai vaksin halal COVID-19

Vaksin seperti ubat lain, dibenarkan menurut Islam selagi tak mengandungi unsur terlarang

BANGI, 18 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – Vaksinasi mencetuskan dilema sosiagama yang kompleks, selain isu kesihatan awam, keselamatan, keberkesanan dan mekanisme pengedaran.

Felo Penyelidik di Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia, Dr Ahmad Badri Abdullah berkata, sebahagian muslim percaya mereka mempunyai hak untuk menuntut vaksin halal.

Berbeza dengan bukan muslim, beliau berkata, status halal vaksin tidak difokuskan sebaliknya perkara utama adalah keselamatan dan keberkesanan.

Katanya, tumpuan status halal vaksin COVID-19 mula timbul selepas pengumuman Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin bahawa vaksin akan tersedia suku pertama tahun depan.

“Kebimbangan masyarakat maya mengenai status halal vaksin mendapat pelbagai reaksi daripada pihak berkuasa. Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, mengatakan status halal vaksin penting untuk menjamin ketenangan jiwa dalam kalangan umat Islam dalam menerimanya.

“Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Halal Development Corporation (HDC), Hairol Ariffein Sahari, menunjukkan piawaian mengesahkan vaksin halal, termasuk untuk COVID-19 akan tersedia awal tahun depan.

“Turut dilaporkan HDC menjalin kerjasama dengan Jabatan Standard Malaysia (DSM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mengembangkan piawaian itu, serta turut menjalankan langkah penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan beberapa syarikat yang menghasilkan vaksin,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Badri berkata, masyarakat secara amnya berhak mendapat maklumat lengkap mengenai vaksin halal.

Jelasnya, dalam laporan HDC berjudul Global Market Potential for Halal Vaccines, vaksin halal tidak mengandungi bahagian atau produk haiwan tidak halal atau tidak disembelih mengikut syariah.

Oleh itu, katanya, ada mencadangkan pengeluaran vaksin halal dapat menggabungkan medium tumbuhan dan juga enzim berasaskan tumbuhan .

“Selain itu, di seluruh aliran pengeluaran, fasiliti pembuatan, pembungkusan, penyimpanan dan mekanisme pengangkutan mesti digunakan secara eksklusif untuk produk biologik halal. Malah, langkah mencukupi untuk mencegah pencemaran vaksin sepanjang peringkat pengeluarannya mesti dipatuhi pengilang,” katanya.

Pada masa sama, Dr Ahmad Badri berkata, masalah mungkin timbul apabila muncul vaksin halal baharu adalah mengenai status hukum bagi vaksin sedia ada yang belum dilabelkan sebagai halal.

Beliau berkata, dengan merujuk hujah disajikan dalam keputusan fatwa, baik dalam negara dan di peringkat global, jelas bahawa vaksin yang belum disahkan sebagai halal akan tetap dihukumkan sebagai harus atau mubah, di mana pengambilannya berdasarkan keperluan mendesak atau darurah.

“Vaksin, seperti ubat lain, dibenarkan menurut Islam selagi tidak mengandungi unsur terlarang yang dinyatakan dalam al-Quran atau daripada bahan najis.

“Oleh itu, jika tidak ada alternatif lain untuk mencegah penyakit berjangkit seperti difteria, tetanus, hepatitis B, dan lain-lain, vaksin sedia ada dapat diterima umat Islam tanpa keraguan.

“Daripada perspektif pembuatan dan pengedaran, untuk mencapai tahap imuniti kelompok dalam sesebuah masyarakat, ia pada hakikatnya memerlukan kepelbagaian produk vaksin,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button