Berita Utama

Rampas semula! Jangan sesekali buat pemutihan tanah haram

Jika boleh pajak sahaja, tapi tanah kekal milik kerajaan negeri

BANGI, 18 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – ‘Pemutihan’ tanah haram di seluruh negeri Pahang sama sekali tidak boleh dilakukan, kerana dibimbangi penceroboh akan menuntut ‘hak’ mereka.

Presiden Perikatan Pencinta Alam Malaysia (ALAM), Khaidir Ahmad mendedahkan isu pencerobohan tanah kerajaan negeri yang dijadikan ladang durian haram di Raub bermula dengan peneroka tanah haram tempatan.

Dakwanya, kegiatan peneroka yang berterusan meneroka dan menjual tanah yang bukan milik mereka turut membabitkan orang luar Raub untuk membelinya.

“Jadinya masa dijual, orang dari luar Raub akan membeli. Dia terang-terang jual lot tanah haram, hutan simpan jual macam mak bapa dia punya,” dakwanya menerusi Siri Bongkar yang disiarkan TV Pertiwi, semalam.

Pada masa sama, beliau hairan apabila peneroka meneroka tanah hampir ratusan ekar sedangkan lapan ekar sudah memadai.

“Kalau nak teroka pun takkanlah teroka sampai beratus ekar bak kata orang. Beratus ekar untuk apa, ini dah macam mahu bina empayar.

“Jika untuk kemudahan kendiri, sendiri, keluarga, lapan ekar sudah lebih memadai. Kenapa tamak, sebab dia jual ke orang lain,” dakwanya.

Justeru, beliau tegas menolak tindakan kerajaan Pahang untuk melakukan operasi ‘pemutihan’ tanah haram.

“Bagi saya kerajaan tidak boleh ‘putihkan’ perkara ini. Jika putihkan lama-kelamaan akan menjadi geran.

“Yang haram tetap haram. Jadi kerajaan mesti rampas atau menjadikan hak milik kerajan negeri. Tidak boleh bagi hak milik kepada peneroka haram. Jika boleh dipajak sahaja, tapi tanah itu kekal jadi milik kerajaan negeri.

“Disewa sahaja tak apa, tapi jika diberikan pemutihan maknanya diberikan geran… Bagi saya, kita tidak boleh membuat macam itu. Lama-kelamaan mereka akan menuntut,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak memaklumkan kerajaan Pahang kerugian RM30 juta hasil cukai tanah dalam isu pencerobohan tanah untuk penanaman durian secara haram di Raub.

Katannya, nilai kerugian itu berdasarkan kadar terendah pajakan dan cukai tanah untuk tempoh 10 tahun.

Katanya lagi, durian yang dikeluarkan ladang haram jelas tidak memiliki pensijilan myGAP, melanggar peraturan dan menyalahi protokol pengeksportan sekali gus boleh menjejaskan industri durian negara selain memberi kesan kepada alam sekitar dan menjejaskan kelestarian alam khususnya hutan simpan dan sumber air.

Isu pencerobohan tanah untuk penanaman durian secara haram sebelum ini dibangkitkan Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji di Dewan Rakyat pada 23 Julai lalu.

Dianggarkan 4,400 hektar kawasan diusahakan secara haram untuk penanaman durian di Raub.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button