Berita Utama

Sudah tiba masa manfaat syarikat tempatan dalam industri mineral

Kita mampu urus industri nadir bumi tanpa bergantung pihak luar

BANGI, 18 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) menyambut baik usaha kerajaan negeri Kedah membangunkan industri nadir bumi dengan memberi dan meluluskan permit kepada sebuah syarikat tempatan bagi menerokai mineral yang dianggarkan bernilai RM60 billion.

Bagaimanapun Presiden BERJASA, Datuk Dr Ir Badrulhisham Abdul Aziz berharap kerajaan negeri dan Pusat dapat memastikan industri ini dibangunkan menggunakan tenaga pakar dan syarikat tempatan tanpa bergantung kepada pihak luar.

Beliau berkata, sudah sampai masanya pihak kerajaan memberi kepercayaan, peluang dan memanfaatkan sumber manusia tempatan dalam bidang industri mineral ini.

Katanya, banyak usaha-usaha tempatan telah dilakukan oleh pakar-pakar kita dalam mengetengahkan bidang strategik ini antaranya Akademi Sains Malaysia yang telah menerbitkan beberapa dokumen termasuk satu ‘blueprint’ yang komprehensif mengenai nadir bumi pada 2012.

“Bukan itu sahaja, Universiti Malaysia Pahang telah menubuhkan Rare Earth Research Center pada 2014 di Gambang dan yang terkini, Universiti Malaysia Kelantan mengumumkan penubuhan pusat nadir bumi, emas dan mineral yang diketuai oleh pakarnya, Dr Hafidz Yusoff dengan kerjasama kerajaan negeri.

“Kewujudan syarikat pemprosesan nadir bumi, Lynas, di Kuantan juga dengan majoriti tenaga kerjanya adalah anak tempatan, membuktikan Malaysia mampu membangun, mengurus dan memperkasakan industri nadir bumi yang amat strategik pada masa kini dan di masa akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebuah syarikat tempatan yang berpangkalan di Kuala Lumpur telah dianugerahkan permit kelulusan bagi meneroka dan mengekstrak sumber mineral jenis ‘rare earth elements’ (REE) di negeri itu.

Katanya, Kedah memiliki deposit mineral itu dianggarkan berjumlah RM62 bilion dan syarikat berkenaan diberi kelulusan itu minggu lepas untuk melakukan kerja-kerja penerokaan di satu kawasan di Kedah.

Mengulas lanjut, Dr Badrulhisham berkata, Malaysia yang kaya dengan mineral perlu mengambil peluang ini dengan membangunkannya secara holistik termasuk mengambil kira penjagaan dan kelestarian alam sekitar.

“Untuk membangunkan industri nadir bumi dari peringkat melombong sehingga kepada pengeluaran logam dan produk hiliran, negara memerlukan bukan sahaja sumber mineral tersebut, tetapi banyak lagi perkara-perkara penting yang akan menyokong industri itu.

“Antaranya adalah polisi dan dasar yang baik; sumber manusia yang kompeten; penyelidikan dan pembangunan teknologi tempatan berkaitan; dana pelaburan yang mencukupi dan juga peraturan keselamatan dan alam sekitar yang mantap,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button