Berita Utama

Syor hadkan lesen import daging halal kepada syarikat orang Islam

Tak lagi boleh bergantung pengesahan halal negara pengeksport semata-mata

JOHOR BAHRU, 18 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – Menghadkan lesen mengimport daging halal kepada syarikat yang dimiliki orang Islam adalah antara perubahan drastik yang perlu dilakukan oleh kerajaan.

Perkara itu penting bagi mengelakkan kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dengan memalsukan dokumen serta logo halal, kata Mufti Negeri Johor, Datuk Yahya Ahmad.

Katanya, perbuatan memalsukan makanan haram bagi umat Islam dengan menggunakan label halal adalah sangat melampau.

Beliau berkata, negara ini tidak lagi boleh bergantung kepada pengesahan halal daripada negara pengeksport semata-mata.

“Perkara ini perlu perhatian dan diambil tindakan oleh pihak berkenaan. Ini kerana terdapat sesetengah negara pengeksport pengesahan halal hanya dikeluarkan oleh pertubuhan masyarakat Islam di negara berkenaan sahaja.

“Keupayaan mereka untuk mengesahkan daging sembelihan yang halal mengikut standard masih tidak dapat diyakini sepenuhnya.

“Sebaliknya perlu sentiasa merujuk bagi mendapatkan pengesahan kepada Jabatan Agama Islam negeri dan JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) selaku pihak berautoriti yang memproses dan mengeluarkan persijilan halal,” katanya.

Baru-baru ini, terbongkar taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukrain, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging itu dengan logo halal lalu menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia.

Hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), kartel berkenaan dipercayai menyamar sebagai syarikat pembekal daging sejuk beku, dan menjadikan sebuah gudang di Senai, Johor Bahru sebagai lokasi membuat label dan cap palsu yang kemudiannya ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula itu.

Tindakan untuk menyakinkan pemborong di Malaysia kononnya bekalan daging sejuk beku itu diperoleh dari negara yang dibenarkan pengimportannya sebelum dipercayai diedar ke pasaran tempatan.

Mengulas lanjut, Datuk Yahya turut mengesyorkan kerajaan supaya menghadkan bilangan negara-negara pengeksport daging halal ke negara ini.

Jelasnya, tindakan itu boleh dilakukan selepas mengenal pasti pihak berkuasa negara terbabit mengawal dan memastikan syarikat pembekal daging mematuhi standard kualiti dan halal yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Bilangan negara pengeksport yang banyak menyukarkan pihak berkuasa kerajaan mengawal syarikat pembekal dari negara pengeluar mematuhi standard halal yang ditetapkan di negara kita.

“Sudah sampai masanya kerajaan turut menghadkan syarikat yang diberi lesen mengimport daging halal hanya kepada syarikat yang dimiliki orang Islam sama ada pemilikan penuh atau pemegang saham terbesar.

“Hanya orang Islam sahaja yang boleh memahami sensitiviti makanan halal untuk umat Islam,” katanya

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button