Berita Utama

Wacana Ketua Wanita ISMA bersama Ketua Muslimat Hidayatullah esok

Bincang peranan muslimah kukuhkan intergriti dalam semangat dakwah

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 18 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – Muslimah yang berintegriti adalah tonggak dalam mewujudkan tamadun Islam. Peranan mereka tidak boleh diabaikan kerana sumbangan wanita muslimah dalam menuntut dakwah amat diperlukan.

Justeru, Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dengan kerjasama Muslimat Hidayatullah (Mushida) akan menjawab persoalan bagaimana muslimah memainkan peranan dalam mewujudkan peradaban serta cara hendak mengukuhkan integriti menerusi semangat dakwah dalam sesi webinar yang diadakan esok.

Mengangkat tajuk ‘Meneguhkan Integritas Muslimah Demi Tegaknya Peradaban Islam’, webinar Persidangan Pra-Nasional Muslimat Hidayatullah Siri 3 itu akan menampilkan dua ahli panel iaitu, Ketua Wanita ISMA, Ustazah Dr Suriani Sudi dan Ketua Umum Pengurus Pusat Muslimat Hidayatullah, Dr (Cand) Reny Susilowati.

Selain disiarkan secara langsung menerusi saluran Youtube ID Hidayatullah, program webinar bersama moderator Ani Chaerani juga disiarkan oleh TV Pertiwi pada Sabtu ini, jam 9 pagi waktu tempatan.

Difahamkan, kerjasama antara Wanita ISMA dengan Mushida dalam sesi webinar itu adalah salah satu pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) yang disepakati dalam bidang dakwah, media dan pendidikan kedua-dua pertubuhan itu.

Bercakap kepada Ismaweb.net, Reny berkata, peranan muslimah pada zaman ini secara realitinya terbawa-bawa oleh arus globalisasi dan modernisasi sehingga fitrah dan jati diri mereka menjadi lemah.

“Seharusnya perkembangan sains dan teknologi tidak melemahkan fitrah dan jati diri muslimah sebaliknya menguatkan mereka,” katanya.

Reny ketika ini sedang melanjutkan melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Ibn Khaldun Bogor.

Beliau menggenggam anugerah Diploma dari Universiti Airlangga, Ijazah Sarjana Muda dari IKIP PGRI Surabaya – kini dikenali sebagai Universiti PGRI Adi Buana Surabaya – dan Ijazah Sarjana dari Universiti Ibn Khaldun Bogor pada 2006.

Ibu kepada tiga orang anak itu pernah menganggotai Himpunan Mahasiswa Islam (HMI), Jabatan Pendidikan Mushida, Jabatan Sumber Manusia dan Badan Berautonomi Mushida, Ketua Perkaderan Mushida serta Ketua Umum Mushida pada 2010 hingga sekarang.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Guru Besar di tadika Solo dan Depok, Sekolah Rendah Depok, serta menganggotai Jabatan Pendidikan Sekolah Berasrama aliran agama Hidayatullah, Depok.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button