Artikel KhasBerita Utama

Bahaya! Ketepi persetujuan, PN Perak di ambang perpecahan?

Pembangkang diingat jangan ambil kesempatan keruhkan keadaan

Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) negeri Perak khususnya mengikuti secara dekat perkembangan politik semasa yang sedang berlaku di negeri Perak berkaitan dengan kegagalan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memperoleh sokongan majoriti Ahli Dewan Negeri dalam usul ‘keyakinan majoriti ahli dewan yang dikemukakan terhadap Menteri Besar (undi percaya) pada persidangan DUN Perak.

BERJASA sebagai sebuah parti yang berjuang mendaulatkan watan serta sentiasa bersama dengan denyut jantung rakyat untuk menyuarakan isi hati mereka berpandangan seperti berikut:-

Krisis kepercayaan terhadap kewibawaan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak telah berlaku sejak zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH) lagi. Isu ini juga berterusan selepas Perikatan Nasional (PN) mengambil teraju pemerintahan negeri.

Oleh sebab itu, ini adalah masa terbaik untuk PN khususnya menamakan calon yang paling berwibawa untuk memimpin negeri ini.

Isu ini juga sangat menguji semangat setiakawan dan perpaduan di kalangan PN dan UMNO. UMNO, PAS dan PBBM khususnya perlu bertindak dengan bijak supaya kerjasama antara mereka dapat dilangsungkan.

Sikap mana-mana parti politik pergabungan ini yang mengenepikan kepentingan dan persetujuan bersama adalah sangat bahaya dan boleh mengundang kepada perpecahan dan persengketaan sesama mereka.

Dalam kemelut ini, kebijaksanaan dan ketulusan pihak istana khususnya Seri Paduka Baginda Sultan Perak amatlah dihargai dan disanjung tinggi. BERJASA amat yakin dengan kebijaksanaan dan buah fikiran baginda sultan dapat meleraikan kekusutan yang berlaku dan menjamin kesejahteraan watan tercinta.

Kepada ahli dan parti politik pembangkang diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan dari suasana yang ada untuk lebih mengeruhkan lagi keadaan.

Rakyat negeri Perak khususnya sedang memerhati dan menunggu dengan penuh debaran apakah kesudahan kemelut kali ini. Mereka mengharapkan agar kepimpinan yang berwibawa segera dibentuk yang membawa aspirasi Melayu dan Islam serta memastikan keharmonian watan yang berbilang bangsa dan agama.

Semoga Allah permudahkan segala urusan kita.

Ustaz Shaharuzzaman Bin Bistamam
Pengerusi Jawatankuasa BERJASA Negeri Perak

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button