Berita Utama

Faizal Azumu umum letak jawatan MB Perak

Telah cuba lakukan terbaik, mohon ampun sebarang kekurangan

IPOH, 19 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, 50, mengumumkan peletakan jawatannya, hari ini.

Keputusan itu diumumkan selepas beliau menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk menyembahkan warkah peletakan jawatan tersebut.

“Alhamdulillah pada jam 3.00 petang, 5 Disember 2020, saya telah diperkenankan untuk menghadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Alhmarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, Almaghfurlah.

“Saya amat menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan dan di kesempatan berkenaan saya telah menyembahkan warkah perletakan jawatan saya sebagai Menteri Besar Perak Darul Ridzuan dan seluruh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.

“Saya menyembahkan rasa penghormatan untuk berkhidmat di bawah naungan kerajaan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas, hari ini.

Ahmad Faizal turut mengambil kesempatan memohon maaf atas segala kekurangan daripada pihaknya dan seluruh pentadbiran kerajaan negeri yang dipimpinnya. 

Beliau mengakui, pengalaman sebagai Menteri Besar adalah sesuatu yang amat bermakna, penuh dengan pelbagai cabaran.

“Saya telah cuba melakukan yang terbaik dan sebagai manusia biasa yang tidak sempurna dan tentu ada berlaku salah dan silap. Ampun dan maaf dari saya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button