Berita Utama

Idea feminisme kesan kezaliman gereja pada wanita Barat

Gerakan feminis pertama wujud di Mesir, tahun 1923 jadi sejarah hitam bagi wanita Islam

BANGI, 19 Rabiulakhir 1442H, Sabtu – Ideologi feminisme yang cuba menyusup masuk dalam masyarakat Islam, adalah hasil tekanan serta kezaliman dari gereja.

Tindakan gereja memandang rendah terhadap wanita menyebabkan golongan itu bangkit dengan idea feminisme menerusi pelbagai suara dan tuntutan hak.

Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Dr Suriani Sudi berkata, gerakan feminisme ini awalnya melawan kezaliman Barat, namun diperluaskan idea itu ke dalam masyarakat Islam menerusi serangan pemikiran serta sistem pendidikan.

“Ramai golongan feminis seperti Sister In Islam (SIS) – yang aktif di Malaysia – adalah hasil rujukan Barat.

“Mereka belajar di Barat dan tanamkan idea-idea ini, yang akhirnya orang Islam pula memperjuang ideologi itu,” katanya dalam Webinar anjuran Munas V Mushida yang berlangsung secara virtual di YouTube, Hidayatullah ID, hari ini.

Selain Dr Suriani, webinar bertajuk ‘Meneguhkan Integrasi Muslimah Demi Tegaknya Peradaban Islam’ turut dijayakan bersama seorang lagi panel dari Indonesia, iaitu Ketua Umum Muslimat Hidayatullah, Dr Reni Susilowati.

Mengulas lanjut, Dr Suriani berkata, tahun 1923 adalah sejarah hitam bagi wanita Islam apabila gerakan feminis pertama wujud dalam negara Islam.

“Ia diasaskan oleh Huda Syaarawi dari Mesir yang menamakan gerakannya sebagai Al-Ijtihad Al-Nisa’i Al-Misri (The Egyptian Feminist Union).

“Ini sejarah hitam bagi wanita Islam, apabila ada umat Islam sendiri yang memperjuangkan agenda feminis dalam masyarakat muslim,” katanya.

Beliau berkata, ideologi feminisme mungkin ditolak oleh umat Islam sekiranya ia dipromosi sendiri oleh orang Barat.

“Sebab itu mereka berharap jika agenda ini dibawa sendiri oleh orang Islam, maka ia mudah diterima masyarakat.

“Jadi, kumpulan feminisme ini mula bergerak bebas menggunakan nama Islam seperti mana SIS, kononnya memperjuangkan wanita Islam daripada belenggu undang-undang Islam,” katanya.

Katanya lagi, gerakan itu akan menyerang integriti muslimah dengan menuntut hak sama rata, mempertikai hak tanggungjawab isteri, isu pemakaian tudung dan perjuangan pertandingan ratu cantik.

“Mereka ini kata aurat bukan satu tuntutan, dan ia hanya hak ketika zaman nabi sahaja.

“Inilah serangan untuk menormalisasikan feminisme,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button