Berita Utama

Kecewa! Dah 2 tahun tiada perkembangan kes Adib: Ebit Lew

Ibu bapa Adib menangis, kematian anak macam diam begitu sahaja

BANGI, 19 Rabiulakhir 1442H, Sabtu – Sudah dua tahun berlalu, tetapi sehingga kini tiada perkembangan kes Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang terkorban dalam rusuhan pada tahun 2018.

Perasaan sedih dan kecewa terhadap isu itu bukan hanya dirasai keluarga Allahyarham, bahkan kepada pendakwah dan sukarelawan terkenal Ebit Irawan Ibrahim Liew atau lebih dikenali sebagai Ebit Liew.

Beliau yang sempat menziarahi keluarga Allahyarham anggota bomba itu semalam berkata, ibu bapa Muhammad Adib meminta bantuannya kerana sehingga kini kes kematian anak mereka hanya diam begitu sahaja.

“Maknya cuma menangis tak boleh cakap apa-apa. Tiba-tiba ulang kali maknya menangis, kata ustaz boleh tolong kami.

“Dah dua tahun tapi tiada perkembangan kes Arwah Adib. Kami sangat sedih pilu dan kecewa sangat. Macam kes ini diam begitu sahaja. Ustaz, boleh tolong kami,” kata Ebit Liew menceritakan semula pertemuan itu.

Selain memberi sumbangan, Ebit Liew turut berkongsi doa serta amalan, dan yakin Allah SWT memberi pahala syahid kepada Allahyarham Muhammad Adib.

“Ya Allah berilah kekuatan buat kedua ibu bapanya. Mereka sentiasa solat di masjid. Selepas Subuh hari Jumaat pasti akan ziarah kubur arwah.

“Ya Allah berilah pertolonganMu buat saudara kami yang bersedih. Berilah keadilan dalam kes arwah Adib,” katanya.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember 2018 selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariammam, USJ 25, Subang Jaya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button