Berita Utama

Kemelut politik di Perak uji setiakawan PN, UMNO

Rakyat harap pemimpin berwibawa dipilih galas aspirasi Melayu, Islam

IPOH, 19 Rabiulakhir 1442H, Sabtu – Kemelut politik di Perak pada ketika ini wajar dijadikan peluang buat Perikatan Nasional (PN) khususnya bagi menamakan calon yang paling berwibawa untuk memimpin negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) Perak, Ustaz Shaharuzzaman Bistamam berkata, ini juga sangat menguji semangat setiakawan dan perpaduan di kalangan PN dan UMNO. 

“Krisis kepercayaan terhadap kewibawaan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai MB Perak telah berlaku sejak zaman pemerintahan PH lagi. Isu ini juga berterusan selepas PN mengambil teraju pemerintahan negeri. 

“Justeru, UMNO, PAS dan Bersatu khususnya perlu bertindak dengan bijak supaya kerjasama antara mereka dapat dilangsungkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau memberi amaran sikap mana-mana parti politik dalam gabungan itu yang mengenepikan kepentingan dan persetujuan bersama adalah sangat bahaya serta boleh mengundang kepada perpecahan dan persengketaan sesama mereka.

“Kepada ahli dan parti politik pembangkang diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan dari suasana yang ada untuk lebih mengeruhkan lagi keadaan,” katanya.

Dalam kemelut ini, Shaharuzzaman berkata, kebijaksanaan dan ketulusan pihak istana khususnya Seri Paduka Baginda Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah amat dihargai dan disanjung tinggi. 

“BERJASA amat yakin dengan kebijaksanaan dan buah fikiran baginda sultan dapat meleraikan kekusutan yang berlaku dan menjamin kesejahteraan watan tercinta,” katanya

Dalam pada itu, beliau berkata, rakyat negeri Perak khususnya sedang memerhati dan menunggu dengan penuh debaran apakah kesudahan kemelut kali ini. 

“Mereka mengharapkan agar kepimpinan yang berwibawa segera dibentuk yang membawa aspirasi Melayu dan Islam serta memastikan keharmonian watan yang berbilang bangsa dan agama.

“Semoga Allah permudahkan segala urusan kita,” katanya.

Ahmad Faizal yang gagal mendapat kepercayaan majoriti daripada ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, semalam akan menghadap Sultan Perak bagi proses pelantikan Menteri Besar baharu.

Ahmad Faizal berkata, beliau akan memohon menghadap Sultan Nazrin kepada pihak Istana dan menunggu perkenan baginda bagi mempersembahkan keputusan usul undi percaya terhadap beliau dalam sidang DUN Perak hari ini.

Katanya, beliau bersedia melepaskan jawatannya dalam pentadbiran negeri itu sekiranya ada lantikan baharu dalam kalangan ahli Dewan yang diperkenankan Sultan Perak.

Beliau menegaskan, ketika ini beliau masih berfungsi sebagai Menteri Besar seperti biasa sehingga seorang ADUN dapat membuktikan mempunyai mandat majoriti dewan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button