Berita Utama

PAS Selangor gesa Jais kaji semula pertukaran guru KAFA

Cadang elaun tambahan, tambah penjawatan bagi penuhi keperluan

BANGI, 10 Safar 1445H, Ahad – Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) digesa mengkaji semula keputusan penstrukturan guru Kelas Al- Quran dan Fardu Ain (KAFA) membabitkan pemindahan dari Sabak Bernam dan Kuala Selangor ke daerah-daerah lain.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, dengan gaji yang rendah, pemindahan itu bakal membebankan guru-guru berkenaan terutama dari sudut kewangan dan kos sara hidup yang tinggi.

“Sekiranya pertukaran ini perlu dilakukan, elaun tambahan mesti diberikan untuk meringankan kos kehidupan mereka terutama yang melibatkan sewa dan lain-lain.

“Bukan hanya arahan dikeluarkan tetapi mesti berserta dengan memberi perhatian dari sudut kebajikan para guru KAFA tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jumaat lalu, Jais mengesahkan seramai 125 guru KAFA di Sekolah Rendah Agama (SRA) di daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor terlibat dalam penstrukturan baharu bagi memenuhi keperluan di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, 125 guru KAFA yang terlibat penyusunan semula itu meliputi 45 guru dari Sabak Bernam dan 80 lagi di Kuala Selangor.

Penyusunan itu juga membabitkan pergerakan 45 guru KAFA dari Sabak Bernam ke Kuala Selangor, manakala 50 guru lagi dari Kuala Selangor ke Klang dan 30 lagi ke Gombak.

Atas dasar itu, Mohamed Sukri mencadangkan agar Jais menambah penjawatan guru-guru KAFA bagi memenuhi keperluan berkenaan.

Katanya, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari juga perlu melihat perkara ini dengan serius, selain menambah peruntukan bagi penambahan perjawatan berkenaan.

Malah, beliau menyarankan Jais supaya menyediakan elaun yang sewajarnya kepada guru terlibat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button