Berita Utama

MOTAC diminta senarai aktiviti dibenar dalam PKPB

Mudahkan kenal pasti sesuatu aktiviti itu adalah sosial atau ekonomi

PUTRAJAYA, 19 Rabiulakhir 1442H, Sabtu – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyenaraikan aktiviti pelancongan dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau berkata, senarai itu kemudiannya akan dibawa untuk dirujuk ke Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mendapatkan pandangan.

Katanya, ia bagi memudahkan pengenalpastian sama ada sesebuah aktiviti itu berkait dengan aspek ekonomi atau sosial.

“Aktiviti di beberapa kawasan pelancongan tak lagi kita buka. Setakat ini, masih lagi PKPB dan aktiviti ekonomi kita benarkan tetapi aktiviti sosial kita tidak benarkan. Aktiviti pelancongan kabur kerana boleh jadi ekonomi dan sosial.

“Kepada pengusaha bas pelancongan ia adalah ekonomi, namun bagi orang yang melancong ia adalah sosial,” katanya pada sidang media, hari ini.

Justeru, Ismail Sabri berkata, beliau mahu berbincang dengan MOTAC mengenai senarai aktiviti positif dan negatif. 

“Secara dasar kita benarkan tetapi berkenaan kawasan itu kita akan bincang secara terperinci.

“Kita minta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya namakan aktiviti yang nak kita buka dan kita akan dapatkan pandangan daripada KKM,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button