Berita UtamaIstimewa

Politik Perak: UMNO patut sembunyi sifat tamak, tunggu PRU15

Tak mustahil PH ambil kesempatan ambil alih kerajaan negeri Perak

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 19 Rabiulakhir 1442H, Sabtu – Barisan pemimpin parti-parti Melayu iaitu UMNO, PAS dan Bersatu di Perak sepatutnya jelas dengan perjuangan mereka, kata Ketua Penerangan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Zamani Ibrahim.

Beliau menegaskan, walaupun berlainan parti, namun mereka telah diberikan amanah untuk membawa agenda ummah. 

“Apabila bercakap mengenai agenda ummah, maka semestinya kepentingan kuasa bangsa Melayu itu patutnya diutamakan berbanding kuasa parti sendiri, tetapi sebaliknya yang dilakukan oleh UMNO,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengkritik tindakan UMNO yang merumitkan keadaan politik di Perak, Ustaz Zamani berkata, parti yang mendakwa mereka sebagai parti keramat Melayu itu, sepatutnya menyembunyikan sementara sifat ketamakannya untuk berkuasa. 

“Oleh yang demikian, apalah diambil kira sangat Menteri Besar Perak adalah daripada Bersatu. Buat sementara waktu ini, lebih lebih lagi kita sedang dilanda wabak COVID-19 dan majoriti kerajaan amat sedikit berbanding PH, maka sepatutnya UMNO menunjukkan kematangannya sebagai parti tua dengan bersabar sehingga Pilhan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

“PRU15 adalah medan yang terbuka untuk UMNO berkuasa, apa salahnya UMNO bersabar sehingga PRU15 demi kepentingan ummah. Inilah penyakit pemimpin UMNO sebenarnya,” katanya.

Dalam suasana politik yang tidak stabil ini juga, adalah tidak mustahil untuk Pakatan Harapan (PH) sebagai pembangkang mengambil kesempatan untuk mencari ikhtiar supaya kembali menjadi majoriti dan akhirnya mengambil alih kerajaan negeri Perak. 

“Ini tidak mustahil, lebih-lebih lagi mungkin terdapat YB yang boleh ‘dibeli’ dan dijanjikan sebagai EXCO. Sekiranya ini berlaku, maka PH akan mendapat majoriti mudah dan sekali gus boleh menjadi kerajaan,” katanya lagi.

Ustaz Zamani menegaskan, BERJASA sebagai parti yang menjadikan Perlembagaan sebagai tiang seri, ingin mengingatkan pemimpin-pemimpin parti Melayu supaya kembali semula menghayati semangat memperjuangkan ketuanan Melayu. 

“BERJASA cukup yakin bahawa, hanya bangsa Melayu sahaja yang mampu menjaga keharmornian rakyat di Malaysia ini,” tegasnya.

Perak mempunyai 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang 25 daripadanya terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Bersatu (5), PAS (3), DAP (16), PKR (3), PAN (5) dan masing-masing satu kerusi milik Gerakan dan Bebas.

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal melepasi usul ‘undi percaya’ terhadap kepemimpinannya yang dikemukakan oleh ADUN Pengkalan Baharu daripada BN, Datuk Abdul Manaf Hashim.

Dalam undian daripada 59 ADUN, sebanyak 48 undi menolak usul percaya itu berbanding 10 yang menyokongnya manakala satu undi rosak atau berkecuali. 

Ketika ini, dua nama daripada UMNO disebut-sebut bakal mengambil alih jawatan Menteri Besar iaitu Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad yang juga ADUN Kota Tampan dan ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button