Berita Utama

Sultan Nazrin titah parti politik cari formula terbaik

'Segala pandangan didengari tetapi bukanlah tanggungjawab untuk Sultan Nazrin campur tangan dalam urusan masing-masing'

IPOH, 19 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menitahkan semua parti politik di negeri berkenaan mencari formula terbaik untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

Ahli Dewan Negara Perak Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata Sultan Nazrin bertitah demikian pada sesi terima menghadap beberapa pimpinan parti politik hari ini.

“Segala pandangan (pimpinan parti politik) itu didengari tetapi bukanlah tanggungjawab untuk Sultan Nazrin campur tangan dalam urusan masing-masing parti dan Sultan hanya boleh nasihatkan carilah formula terbaik untuk tubuhkan kerajaan dan pimpinan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di luar perkarangan Istana Kinta, di sini selepas selesai majlis terima menghadap beberapa pimpinan parti politik itu.

Pimpinan parti politik itu termasuk Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming, Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, Pengerusi Amanah Perak Datuk Asmuni Awi dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Saarani Mohamed.

Esok, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadual menghadap Sultan Nazrin di Istana Kinta, Ipoh pukul 10 pagi.

Ditanya sama ada pihak Istana telah disembah maklum senarai calon Menteri Besar baharu, Mohd Annuar berkata difahamkan perkara itu masih dalam perundingan parti-parti politik.

Semalam, Ahmad Faizal gagal memperoleh sokongan dalam usul keyakinan ahli Dewan terhadap Menteri Besar dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila hanya mendapat 10 undi, berbanding 48 menolak manakala satu berkecuali.

Usul itu dibawa Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru) atas alasan untuk membuktikan Ahmad Faizal mempunyai sokongan padu daripada semua 59 ADUN sebagai seorang Menteri Besar.

DUN Perak merangkumi 25 ADUN Barisan Nasional yang kesemuanya UMNO, DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3), PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button