Berita Utama

Tauhid, seimbang, insan, al-Deen 4 paksi kuatkan tamadun Islam

Bentuk dahulu identiti masyarakat untuk bina sebuah peradaban

BANGI, 19 Rabiulakhir 1442H, Sabtu – Identiti individu dan masyarakat perlu dibentuk dahulu untuk membina sebuah tamadun serta peradaban.

Pembentukan identiti masyarakat adalah antara aspek rohani yang penting dalam asas peradaban, sekali gus menentukan jatuh bangun sesuatu umat, kata Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Dr Suriani Sudi.

Sementara, aspek fizikal membabitkan kemajuan serta pembangunan tamadun hanyalah ‘kosmetik’ atau nilai tambah kepada masyarakat, katanya.

“Peradaban sebuah tamadun adalah berfokus pada manusia itu sendiri, pembentukan individu pada masyarakatnya.

“Nak bina tamadun, kita perlu bentuk dahulu diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara,” katanya dalam webinar bertajuk ‘Meneguhkan Integrasi Muslimah Demi Tegaknya Peradaban Islam’ di YouTube Hidayatullah ID, hari ini.

Oleh sebab itu, pentingnya untuk setiap individu memainkan peranan dalam membentuk ketamadunan dan peradaban, kata Dr Suriani.

Merujuk tamadun Islam, beliau berkata, peradabannya kekal kukuh sejak zaman Rasulullah SAW sehingga kini kerana empat paksi penting yang membezakannya dengan tamadun Barat, Yunani atau Rom.

“Empat paksi yang menguatkan peradaban Islam adalah asas tauhid, penekanan yang seimbang, pembangunan insan dan al-Deen, dan ia tiada dalam tamadun lain.

“Walaupun tamadun Islam ada graf naik turun, tetapi ia tetap kukuh kerana peradabannya bersambung hingga kini,” katanya.

Beliau berkata, di Barat, agama dan kehidupan adalah suatu perkara terasing antara satu sama lain.

“Sedangkan dalam Islam, agama itu ialah kehidupan. Sebab itu umat Islam boleh hidup di mana-mana keadaan.

“Umat Islam dari zaman Rasulullah SAW sehinggalah kini apabila mengamalkan agama dalam kehidupan, dia dapat mengecapi kebahagiaan sebenar.

“Apabila belajar, bekerja malah bersukan, dia tahu itu adalah tuntutan agamanya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button