16 anggota, seorang kerani balai polis Parit Sulong diarah kuarantin
Dikenal pasti sebagai kontak rapat 3 anggota polis positif COVID-19

JOHOR BAHRU, 20 Rabiulakhir 1442H, Ahad – Seramai 16 anggota pangkat rendah dan seorang kerani dari Balai Polis Parit Sulong dekat Batu Pahat diarahkan menjalani kuarantin di rumah masing-masing, selepas dikenal pasti sebagai kontak rapat tiga anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat yang disahkan positif COVID-19.
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, 15 anggota dan kerani terbabit akan menjalani kuarantin selepas melakukan ujian calitan pada hari ini manakala seorang lagi esok.
“Semua anggota polis dan kerani berkenaan menjalani kuarantin di rumah masing-masing sehingga mendapat keputusan ujian calitan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, orang ramai tidak perlu khuatir kerana Balai Polis Parit Sulong tetap beroperasi seperti biasa.
“Bantuan untuk tugas pejabat dan pertanyaan dibantu oleh seorang anggota dari Balai Polis Semerah, seorang dari Balai Polis Sri Medan dan dua dari Balai Polis Yong Peng,” katanya. -Bernama