Berita Utama

Pahang benar jemaah belum terima vaksin solat di masjid, surau

Individu bergejala, di bawah HSO dan kontak rapat tidak dibenarkan

KUANTAN, 16 Safar 1443H, Khamis – Semua masjid dan surau di Pahang dibenarkan melaksanakan solat Jumaat dan solat fardu dengan jemaah terbuka kepada semua termasuk individu yang belum menerima suntikan vaksin COVID-19, tertakluk kepada syarat ditetapkan.

Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan prosedur operasi standard (SOP) itu berkuat kuasa semalam, dengan bilangan jemaah kecuali di lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah mengikut keluasan kapasiti masjid atau surau dengan mengamalkan penjarakan fizikal.

Bagi masjid dan surau di kawasan PKPD, bilangan jemaah bagi solat fardu ditetapkan hanya seramai 12 orang manakala untuk solat Jumaat seramai 40 orang, tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid dengan keutamana diberikan kepada individu yang lengkap vaksinasi.

“Bagaimanapun, individu yang bergejala, di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dan kontak rapat adalah tidak dibenarkan ke masjid atau surau.

“Jemputan kepada imam, khatib dan penceramah dari luar Pahang serta kanak-kanak yang belum baligh pula masih belum dibenarkan selain tiada aktiviti berkumpul sebelum dan selepas solat,” menurut kenyataan itu.

Bagi pengajian ilmu, JAIP memaklumkan hanya kuliah Subuh dan Maghrib dibenarkan pada masa ditetapkan selain pengurusan masjid perlu menyediakan ruang khas untuk golongan musafir dan memastikan masjid atau surau disanitasi sekerap yang boleh.

Bagi aspek pengurusan jenazah bukan pesakit COVID-19, JAIP memaklumkan ia dibenarkan terhad kepada lima orang sahaja manakala bilangan orang yang dibenarkan menziarah bergantung kepada kapasiti jemaah yang dibenarkan bagi solat fardu dan solat Jumaat.

“Bagi ziarah jenazah di rumah, ia berdasarkan kepada keluasan rumah dan tidak melebihi 20 orang dalam satu-satu masa, selain tempoh masa yang dibenarkan di semua tempat ialah 10 minit tanpa bersalaman atau bersentuhan.

“Jumlah maksimum bagi pengebumian ialah 50 orang. Aktiviti ziarah kubur dibenarkan bergantung kepada keluasan tanah perkuburan dan perlu diselesaikan dalam tempoh paling minimum,” menurut kenyataan itu.

JAIP memaklumkan perarakan mengusung jenazah tidak dibenarkan dengan jenazah perlu dibawa ke tanah perkuburan menggunakan kenderaan jenazah, selain tiada aktiviti berkumpul sebelum atau selepas ziarah atau pegebumian.

“Majlis tahlil di rumah dengan kehadiran jemputan luar dan semua bentuk jamuan juga tidak dibenarkan. Waris dari luar Pahang yang hadir perlu mematuhi SOP ditetapkan pihak berkuasa.

“Wakil keluarga, pentadbir masjid atau pengurusan tanah perkuburan serta pemimpin setempat adalah bertanggugjawab untuk memastikan pematuhan SOP dan tindakan boleh diambil jika berlaku kegagalan pematuhan SOP,” menurut kenyataan itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button