Berita Utama

Kes aktif kebolehjangkitan 11,039

Kes baharu 1,335 dan jumlah kes pulih hari ini adalah 1,069

KUALA LUMPUR, 20 Rabiulakhir 1442H, Ahad – Kes baharu COVID-19 yang direkodkan hari ini kekal empat digit iaitu 1,335 kes menjadikan jumlah kumulatif kes positif dalam negara sebanyak 72,694, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Ia menjadikan bilangan kes aktif kebolehjangkitan mencatat 11,039 kes, manakala jumlah kes pulih hari ini adalah 1,069 menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 61,273.

Menurut Dr Noor Hisham, daripada 1,335 kes baharu hari ini sebanyak 1,332 kes adalah kes penularan dalam negara manakala bakinya kes import.

“Negeri-negeri di Lembah Klang melaporkan jumlah kes harian sebanyak 515 kes (38.6 peratus). Daripada jumlah itu, Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 337 kes (65.4 peratus) diikuti oleh Negeri Sembilan sebanyak 258 kes (19.3 peratus) dan Sabah 250 kes (18.7 peratus),” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, 243 kes (18.2 peratus) dilaporkan hari ini pula adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (141 kes), Kluster Tembok (92 kes), Kluster PTS Sibuga (tujuh kes), Kluster Bakti (dua kes) dan Kluster Rumah Merah (satu kes).

Sementara itu, katanya terdapat pertambahan dua kes kematian COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia sebanyak 382 kes (0.53 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Sehingga kini, terdapat 126 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), yang 57 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button