Berita Utama

Mansuh UPSR kurangkan tekanan murid

Ukur 'kemenjadian' pada potensi, bukan peperiksaan semata-mata

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 20 Rabiulakhir 1442H, Ahad – Hasrat untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mampu mengurangkan tekanan kepada murid, sekali gus dapat melihat perkembangan mereka secara lebih holistik dan tidak kepada aspek kognitif.

Pemansuhan ini akan menghilangkan trauma dan persepsi ibu bapa untuk mengukur ‘kemenjadian’ anak berdasarkan orientasi peperiksaan semata-mata, sebaliknya mereka perlu melihat setiap anak – murid – ada kelebihan dan potensi tersendiri.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, jika dibangunkan dengan betul dan terancang, ibu bapa akan melahirkan insan yang menyumbang besar kepada masyarakat suatu hari nanti.

“Lagipun pendidikan kita perlu siap siaga untuk mendepani cabaran guna tenaga masa depan yang berorientasikan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

“Orientasi peperiksaan kadang-kadang membawa sikap membanding beza antara murid yang boleh melemahkan semangat dan rasa rendah diri dalam murid,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ustaz Azizee berkata, keputusan itu dari aspek lain dapat mengurangkan beban guru yang tertekan untuk memastikan murid-murid memperoleh A pada peperiksaan UPSR kepada mendidik dan mengembangkan bakat dan potensi murid secara holistik.

“Bagaimanapun, perubahan ini diharap tidak menjadikan murid-murid semakin malas disebabkan tiada persaingan untuk mengejar berapa A, tetapi menyubur potensi dan bakat murid yang memiliki kepelbagaian kecerdasan.

“Namun pada masa sama, iGuru berharap pihak KPM perlu menambah baik kaedah pentaksiran sedia untuk kemasukan ke sekolah-sekolah pilihan seperti SBP, SMKA dan MRSM supaya meningkatkan peratusan murid dalam bidang sains dan teknologi (STEM),” katanya.

Kementerian Pendidikan (KPM) kini sedang dalam peringkat akhir kajian sebelum mempertimbangkan untuk memansuhkan UPSR.

Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaya berkata, pihak kementerian akan membuat keputusan muktamad mengenainya tidak lama lagi selepas perincian kajian selesai sepenuhnya.

“Kemungkinan besar tidak akan ada lagi UPSR pada tahun hadapan dan selama-lamanya… kemungkinan besar kumpulan murid yang menduduki UPSR pada tahun lalu adalah yang terakhir.

“Kementerian sekarang pada peringkat akhir membuat kajian mengenainya dan insya-Allah akan membuat keputusan muktamad tidak lama lagi,” katanya.

Pada 15 April lalu, KPM mengumumkan UPSR dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun ini dibatalkan berikutan pandemik COVID-19.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button