Uncategorized

Hina pegawai undang-undang, kenyataan Tommy Thomas bersifat jahat: JALSOA

Tommy Wajar jaga kehormatan termasuk nama baik jawatan Peguam Negara

BANGI, 21 Jamadilakhir 1442H, Rabu – Persatuan Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (JALSOA) membantah tegas penulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menerusi buku “My Story: Justice in The Wilderness.

Jawatankuasa Eksekutif JALSOA berkata, kenyataan Tommy dalam penulisannya sebagai bersifat jahat dan menghina pegawai undang-undang secara keseluruhannya.

Kesal dengan perkara itu, JALSOA berkata, Tommy menggelar pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara sebagai peguam kerajaan yang hanya menunggu gaji bulanan dan menantikan pencen selepas persaraan serta menjalankan kerja pentadbiran. 

“Sebagai Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas juga adalah Ketua Perkhidmatan kepada Pegawai Undang-Undang dalam Skim Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan .

“Namun, kenyataan-kenyataan beliau menunjukkan beliau telah salah arah dan salah tanggapan mengenai peranan pegawai undang-undang dalam skim perkhidmatan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Mengulas lanjut, JALSOA berkata, Tommy tidak wajar mempertikaikan kemampuan, keupayaan dan kebolehaan pegawai undang-undang di bawah seliaan beliau dalam tempoh yang singkat.

Apatah lagi, katanya, beliau menyebut dengan jelas nama pegawai undang-undang dalam bukunya dengan cemuhan. 

Jelasnya, pegawai undang-undang sama ada yang ditempatkan di Jabatan Peguam Negara mahupun di Mahkamah sentiasa menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka menurut undang-undang, tanpa mengira mana-mana Peguam Negara atau kerajaan yang memerintah. 

“Cabaran, dugaan dan tekanan dalam tugasan seorang pegawai undang-undang memberi implikasi bukan kepada mana-mana individu dan pelanggan, tetapi memberi kesan kepada kepentingan negara dan kepentingan awam dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.

“Kami tidak bekerja untuk mengejar populariti individu, malahan dasar kerahsiaan, integriti dan profesionalisme yang ditekankan di dalam perkhidmatan awam sentiasa melatari setiap tindakan dan tatakerja Pegawai Undang-Undang,” katanya. 

JALSOA berkata, pegawai undang-undang yang mempunyai kelayakan dan kelulusan akademik yang setaraf dengan peguam swasta hadir  mewakili kerajaan dan berjuang dalam pertikaian pihak-pihak di mahkamah, termasuk  pertikaian dan rundingan  antarabangsa demi kepentingan negara. 

Justeru, katanya, pandangan Tommy amat tidak bertamadun dan mencerminkan kedangkalan pemikirannya. 

Tegasnya, sebarang perasaan tidak puas hati beliau ketika berurusan dengan pegawai undang-undang amat tidak wajar dan tidak patut dicoretkan untuk tontonan umum.

“Persepsi tersebut adalah ciptaan Tan Sri Tommy Thomas sendiri atas kegagalannya dalam menerajui Jabatan Peguam Negara serta memahami  pentadbiran dan perkhidmatan awam.

“JALSOA berpendirian bahawa Tan Sri Tommy Thomas sewajarnya menjaga kehormatan dan nama baik Peguam Negara yang pernah disandang beliau, serta institusi perkhidmatan perundangan dalam perkhidmatan awam sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button