Berita Utama

Muslimah perlu jadi ‘role model’ bangun peradaban

Peradaban Islam manifestasi iman dalam setiap aspek kehidupan

BANGI, 20 Rabiulakhir 1442H, Ahad – Golongan wanita Islam berperanan dalam membangunkan peradaban, kerana mereka bertanggungjawab di atas kualiti generasi akan datang.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab kepada golongan wanita untuk membangunkan peradaban bermula daripada fungsinya sebagai seorang isteri dan ibu di rumah.

Ketua Umum PP Muslimat Hidayatullah, Dr Reny Susilowati berkata, golongan wanita bertanggungjawab di atas kualiti generasi dengan menanamkan visi hidup pada anak-anak.

“Oleh itu, mereka juga perlu mempersiapkan diri menjadi ‘role model’ pada anak kerana peranan dan fungsi muslimah ialah membangunkan peradaban.

“Wanita itu tiang negara, apabila baik wanita maka baiklah negara. Begitu juga di sebalik kejayaan lelaki atau anak-anak pasti di sebaliknya adalah kerana wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam webinar anjuran Munas V Mushida yang berlangsung secara virtual di YouTube, Hidayatullah ID semalam.

Webinar bertajuk ‘Meneguhkan Integrasi Muslimah Demi Tegaknya Peradaban Islam’ itu menampilkan moderator dua negara iaitu Indonesia dan Malaysia, yang turut menampilkan Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Dr Suriani Sudi.

Mengulas tajuk itu, Dr Reny berkata, peradaban Islam adalah manifestasi iman di dalam setiap aspek kehidupan.

“Tidak kiralah dalam urusan peribadi, keluarga, ideologi, politik mahupun aspek pertahanan keamanan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, peradaban masih tidak merangkumi keseluruhan masyarakat kerana wujud pelbagai penyelewengan fitrah dalam kalangan wanita muslim.

“Di Indonesia, dari 1,000 remaja hamil, 48 daripadanya adalah di luar nikah dan 58 peratus mahu melakukan penguguran janin.

“Malah, dalam tempoh pandemik, angka kes penceraian juga meningkat setakat tiga bulan dari Mei hingga Julai.

“Data dari Jawa Barat yang mempunyai penduduk sebanyak 39.9 juta. Dalam tiga bulan, 27,148 kes penceraian dilaporkan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button