Berita Utama

PEMBELA ajak rakyat solidariti bantah pencerobohan tanah di Pahang

Masa berdiam diri sudah tamat, ini masa untuk kita lantang bersuara!

BANGI, 20 Rabiulakhir 1442H, Ahad – Tinggal tiga hari lagi menjelang keputusan permohonan pendengaran kes semakan kehakiman yang difailkan 111 pekebun durian Raub bagi mengetepikan notis pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan Pahang.

Serentak itu, Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya mengajak rakyat Pahang bersolidariti menyatakan bantahan terhadap pencerobohan tanah.

Bantahan itu juga wajar disuarakan sebagai signal rakyat untuk mendesak penceroboh-penceroboh tanah diambil tindakan sekeras-kerasnya.

“Masa berdiam diri sudah tamat. Ini masanya untuk kita lantang bersuara demi hak dan maruah kita. Menang atau kalah kes ini, kita saksi dan nantikan bersama.

“Mohon peringatkan orang-orang kampung, saudara-mara dan rakan-rakan di Pahang akan 9 Disember ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 9 Disember ini bakal menentukan nasib pekebun haram durian Musang King, sama ada dihalau keluar atau pun sebaliknya.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zainal Azman Ab Aziz menetapkan Rabu ini untuk pendengaran kes semakan kehakiman yang difailkan 111 pekebun durian Raub, bagi mengetepikan notis pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan Pahang terhadap mereka.

Keputusan itu dibuat setelah mendengar hujah kedua-dua pihak plaintif yang diwakili peguam, Siew Choon Jern dan Brendan Siva serta responden-responden yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Noor Fadzila Ishak dalam sebutan kes pada 28 Oktober lalu.

Kegiatan pencerobohan 4,400 hektar tanah di Raub itu menyebabkan kerajaan Pahang mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun melalui hasil cukai dari kebun haram termasuk kawasan hutan simpan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button