Berita Utama

Sidang DUN perlu MB, paling kurang 4 EXCO

ADUN akan bangun kemuka usul tangguh sidang pada tarikh lain

IPOH, 20 Rabiulakhir 1442H, Ahad – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang dijadualkan bersambung Rabu ini, memerlukan kehadiran Menteri Besar dan sekurang-kurangnya empat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dilantik.

Sekiranya Menteri Besar belum dilantik sehingga tarikh itu, usul penangguhan persidangan DUN perlu dibuat pada hari berkenaan, kata Yang Dipertua DUN, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.

“Katakan kerajaan tidak terbentuk bila sambung persidangan pada 2.30 petang Rabu ini, saya akan minta seorang ahli DUN (ADUN) bangun untuk mengemukakan usul supaya persidangan ditangguhkan hingga ke suatu tarikh yang akan diberitahu,” katanya.

Jumaat lalu, persidangan sepatutnya bermula dengan sesi soal jawab lisan sebelum diikuti pembentangan belanjawan negeri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Namun, speaker membenarkan pembentangan usul ‘keyakinan ADUN terhadap Menteri Besar’ yang dibawa oleh Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru) yang menyaksikan Ahmad Faizal kehilangan sokongan majoriti ADUN.

Beliau hanya mendapat 10 undi, dengan 48 menolak manakala satu berkecuali.

Semalam, Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang telah mempersembahkan surat peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar dan juga barisan EXCO kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Sultan Nazrin dipetik bertitah memperkenankan peletakan jawatan Ahmad Faizal dan barisan EXCO negeri itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button