Berita Utama

Sultan Perak perkenan lantikan MB baharu jika cukup majoriti

Tiada lagi pihak mohon menghadap selepas Presiden UMNO

BANGI, 20 Rabiulakhir 1442H, Ahad – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hanya memperkenan pelantikan Menteri Besar baharu, setelah baginda diyakinkan bahawa calon berkenaan mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini memaklumkan, sejak dua hari lalu baginda sudah menerima menghadap beberapa pemimpin tertinggi parti bagi menyembah maklum perkembangan terkini situasi politik parti masing-masing termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Beliau (Ahmad Zahid) sudah menyembah maklum perkembangan terkini daripada sudut UMNO dan rumusan yang dicapai dalam Mesyuarat Khas Perhubungan UMNO semalam.

“Peranan baginda sultan (memperkenankan pelantikan Menteri Besar baharu) hanya setelah diyakinkan bahawa calon yang dipersembahkan itu mempunyai sokongan majoriti mudah,” katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.

Tambahnya, pihak istana juga bersedia untuk diyakinkan sudah ada calon untuk mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak yang baharu.

Katanya, selepas Ahmad Zahid, setakat ini tiada mana-mana pihak lain lagi yang memohon untuk menghadap baginda dalam masa terdekat.

“Setakat ini tiada, namun saya tidak boleh ulas kerana dinamik (keadaan politik). Jika ada saya akan maklumkan kepada media,” katanya.

Kemelut politik di Perak berlaku apabila Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, gagal memperoleh sokongan dalam usul keyakinan ahli Dewan terhadap Menteri Besar pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila hanya mendapat 10 undi, dengan 48 menolak manakala satu berkecuali.

Usul dibawa Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru) atas alasan mahu membuktikan Ahmad Faizal mempunyai sokongan padu daripada semua 59 ADUN sebagai Menteri Besar.

DUN Perak merangkumi 25 ADUN Barisan Nasional (BN) mewakili UMNO, DAP (16), PAN (lima), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) (lima), PKR (tiga), PAS (tiga), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button