Berita UtamaIstimewa

ISMA, MACSA dan The Patriots anjur forum kenang Himpunan 812

Adakah suara-suara umat Islam masih kukuh seperti dahulu?

BANGI, 21 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menganjurkan forum atas talian bagi meraikan ulang tahun kedua Himpunan Bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) – Himpunan 812 – esok.

Antara panel yang akan berucap adalah mereka yang menjadi penggerak utama Himpunan 812 iaitu Presiden ISMA, Haji Aminuddin Yahaya, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hassan Mad.

Selain itu, Pengerusi Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA), Lukman Sheriff Alias, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad.

Forum Menyingkap Himpunan 812 ini akan disiarkan secara langsung menerusi akaun Youtube, Twitter dan Facebook bermula jam 8.30 malam sehingga 10.30 malam.

Forum berkenaan turut mendapat kerjasama Ismaweb.net, Pertubuhan Pembela-Pembela Islam Malaysia (PEMBELA), Perikatan Masyarakat Sivil dalam Proses Semakan Sejagat (UPR) Malaysia (Macsa) dan The Patriots.

Pada 8 Disember 2018, Himpunan 812 yang berjaya mengumpulkan lebih 600,000 peserta berjalan dengan aman dan teratur, jauh melangkaui gosip-gosip dan khabar angin yang berlegar di media sosial yang rata-rata menyatakan perhimpunan ini akan bertukar ganas apabila ‘pejuang-pejuang Melayu’ dan ‘pak-pak lebai’ berkumpul beramai-ramai.

Sangkaan itu bukan sahaja meleset bahkan perhimpunan itu aman lagi teratur, bersih dari aspek kelakuan mahupun keadaan sekitar, serta berjaya mencapai objektif utama iaitu menghentikan sebarang ratifikasi konvensyen dan triti antarabangsa yang ingin ditandatangani kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

Perhimpunan itu juga antara titik tolak bermulanya kempen Buy Muslim First yang paling berjaya dalam senarai kempen kesedaran hak pengguna.

Selain itu, perhimpunan itu juga merupakan titik tolak kepada bermulanya sebuah lembaran baru kepada kesatuan NGO-NGO Melayu Islam yang langsung menebas laluan kepada penyatuan dua parti terbesar Melayu Islam iaitu PAS dan UMNO melalui platform penyatuan ummah.

“Jika ada kegagalan atau penangguhan daripada tuntutan perhimpunan ini, ia adalah keadilan yang dituntut buat arwah Adib, wira negara yang terkorban ketika menjalankan tugasnya menjaga keselamatan rakyat ketika rusuhan pada 17 November 2018,” kata ISMA dalam hantaran di Facebook.

Jelasnya, forum yang diadakan itu juga untuk kembali menelusuri perhimpunan berkenaan dan melihat kembali apa yang telah dicapai bersama hari ini.

“Adakah kita masih teguh bersatu seperti hari-hari yang membawa kepada perhimpunan raksasa ini?

“Adakah kempen-kempen yang dilancarkan masih kuat bergerak seperti dahulu? Adakah suara-suara umat Melayu Islam masih kukuh seperti dahulu?,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button