Berita Utama

Jawatan satu tanggungjawab, bukan perebutan: Shaharul Zaman

Berjuang untuk rakyat dalam apa juga kapasiti yang ada

IPOH, 21 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Jawatan adalah satu tanggungjawab dan bukan untuk perebutan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya, antara nama yang diuar-uar sebagai bakal Menteri Besar Perak yang baharu, hari ini.

ADUN UMNO itu juga berkata, semua pihak perlu kembali kepada perkara asas iaitu berjuang untuk rakyat dalam apa juga kapasiti yang ada.

“Ibu bapa saya sentiasa mengingatkan saya untuk berpegang kepada konsep reda, usaha dan tawakal kepada Allah. Kita wajib percaya kepada qada dan qadar Allah, segalanya telah tertulis… jawatan adalah pertanggungjawaban bukan untuk perebutan.

“Kita jaga petak kita masing-masing, if we can uphold to all this (jika kita mempertahankan semua ini) insya-Allah reda Allah untuk kita, negeri dan negara yang kita cintai ini,” katanya menerusi laman rasmi Facebook beliau.

Shahrul Zaman turut menyertakan keratan berita yang melaporkan beliau antara yang disebut-sebut sebagai bakal Menteri Besar Perak yang baharu selain Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Saarani Mohamad dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd kadir.

Jawatan Menteri Besar Perak kini kosong selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan Sabtu lalu setelah gagal mendapat sokongan dalam usul undi kepercayaan majoriti Ahli Dewan terhadap Menteri Besar semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jumaat lepas.

Menerusi usul yang dibawa Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baharu), Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang hanya memperoleh 10 sokongan berbanding 48 menentang, manakala satu berkecuali.

DUN Perak merangkumi 25 BN, DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3) dan PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button