Berita Utama

Mudarat jika kerjasama dengan DAP, lebih baik kekalkan PN di Perak

Yakin Sultan Nazrin buat pertimbangan sewajarnya pilih MB baharu

BANGI, 21 Rabiulakhir 1442H, Isnin – UMNO sepatutnya mengambil pendirian mengekalkan kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN) di Perak, walaupun tidak bersetuju dengan kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebagai Menteri Besar.

Saranan disuarakan pemerhati politik, Ir Lukman Al Hakim Mohammad kerana berpandangan tindakan itu lebih selamat dan kurang mudaratnya berbanding membentuk jajaran baharu di Perak dengan parti rasis dan cauvinis, DAP dan sekutunya PKR.

Beliau berkata, kegagalan DAP memimpin negeri Perak telah terbukti sebelum ini walaupun hanya sempat membentuk kerajaan negeri dalam masa yang singkat selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 yang lalu.

“Malah kelemahan pentadbiran dan pelbagai isu salah laku dan kontroversi yang melanda parti cauvinis ini membuktikan ketidakmampuan mereka mentadbir negeri dengan baik.

“Sebelum ini DAP yang amat jelas memusuhi Islam sanggup bekerjasama dengan parti Islam PAS demi matlamat politik mereka.

“Kali ini kita melihat pula DAP dengan kelicikan yang sama. Walaupun parti rasis ini amat jelas memusuhi Melayu, tapi sanggup bekerjasama dengan UMNO juga demi matlamat politik mereka,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Sementara PKR pula katanya, parti itu amat terkenal sebagai parti lalang yang tiada hala tuju, saling berpecah secara dalaman dan amat goyah.

Bahkan disifatkan sebagai kenderaan bagi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memenuhi nafsu serakah politiknya untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.

“Saya amat optimis Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah amat arif akan bahaya DAP dan akan membuat pertimbangan yang sewajarnya dalam pemilihan Menteri Besar baharu.

“… dan pasti meletakkan syarat tertentu dalam pembentukan kerajaan negeri nanti,” kata Lukman.

Kemelut politik di Perak bermula apabila Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan majoriti dalam usul undi percaya terhadapnya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Usul berkenaan dikemukakan oleh Datuk Abdul Manaf Hashim (BN-Pengkalan Bharu).

Daripada 59 ADUN, 10 menyokong usul berkenaan manakala 48 lagi membantah dan satu undi rosak dalam undi belah bahagian yang ditetapkan Speaker, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.

Perak mempunyai 59 ADUN yang terdiri daripada Barisan Nasional 25, BERSATU (lima), PAS (tiga), DAP (16), PKR (tiga), PAN (lima) dan masing-masing satu Gerakan dan Bebas.

Krisis politik itu semakin panas apabila terdapat ura-ura menyatakan UMNO akan membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan DAP di Perak.

Malah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga dilaporkan turut tidak menolak kemungkinan berlaku penjajaran baharu di Perak seiring krisis politik yang melanda negeri itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button