Berita Utama

Masjid, surau, musalla sekitar kawasan PKPD ditutup: MAIK

Tertakluk kepada SOP berkuat kuasa hari ini hingga 20 Disember

KOTA BHARU, 21 Rabiuakhir 1442H, Isnin – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mengarahkan kesemua masjid, surau dan musalla di kawasan sekitar Madrasah Ad-Diniah Al Falahiah di Pasir Puteh yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), ditutup.

Yang Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata pada masa sama, arahan pelaksanaan penutupan masjid, surau dan musalla yang terletak dalam kawasan Kluster Mengketil dan Istana Negeri Kubang Kerian juga masih berkuat kuasa hingga ke suatu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Beliau berkata bagaimanapun, empat jajahan iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah dan Machang masih dibenar mengadakan solat Jumaat, fardu dan aktiviti di masjid dan surau, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) berkuat kuasa hari ini hingga 20 Disember.

“Bagi jajahan Bachok, Tumpat, Pasir Puteh, Kuala Krai, Jeli dan Gua Musang, solat Jumaat, fardu dan aktiviti di masjid serta surau dibenarkan sebagaimana garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang sudah diumumkan kerajaan.

“Perkara ini juga telah mendapat perkenan Sultan Muhammad V dan Yang Dipertuan bagi Negeri Kelantan sebagai Ketua Agama Islam sebagaimana peruntukan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan bagi membendung COVID-19 di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Temenggong Kelantan itu juga berkata MAIK amat mengharapkan kerjasama semua pihak dalam melaksanakan ketetapan tersebut.

“Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin selain terus berdoa agar segala usaha dan langkah yang diambil akan diperkenankan oleh Allah SWT supaya wabak COVID-19 yang sedang mengancam negeri dan negara pada masa ini segera berakhir dan diangkat oleh-Nya,” katanya.

Setakat semalam, Kelantan merekodkan lapan kluster dengan Kluster Mengketil mencatatkan jumlah kumulatif tertinggi sebanyak 87 kes, diikuti Kluster Huma yang bermula di Madrasah Ad-Diniah Al-Falahiah dengan 57 kes positif. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button