Berita Utama

Menang, kalah isu ceroboh di Raub beri gambaran kes lain di Pahang

Penduduk Pahang diminta cakna dengan keputusan kes 9 Disember

BANGI, 21 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berharap keputusan mahkamah dalam isu pencerobohan tanah secara haram di Pahang pada 9 Disember ini akan berpihak kepada yang benar.

Rabu ini adalah hari untuk pendengaran kes semakan kehakiman yang difailkan 110 pekebun durian Raub, bagi mengetepikan notis pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan Pahang terhadap pekebun durian.

Pekebun durian terlibat memfailkan permohonan itu dengan menamakan enam responden iaitu Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, kerajaan negeri Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Selain untuk menyemak arahan pengosongan tanah di bawah Kanun Tanah Negara 1965 dan Akta Perhutanan Negara 1984, pemohon juga mahu mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan negeri yang didakwa memberikan pajakan serta hak penggunaan tanah kebun seluas kira-kira 2,167 hektar (5,357 ekar) kepada syarikat Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Pemohon juga mahu menyemak keputusan pemberian subpajakan tanah terlibat kepada mereka dan kewajipan mandatori untuk menjual durian itu kepada satu-satu entiti yang dicalonkan oleh Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd. 

Sehubungan itu, Aminuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA) mengajak orang ramai untuk bersama-sama mengikuti keputusan kes itu yang berbaki dua hari sahaja lagi kerana ia adalah penanda aras kepada kes-kes pencerobohan lain. 

“Tinggal dua hari lagi keputusan mahkamah mengenai kes pencerobohan tanah di Raub akan kita ketahui. 

“Kalah atau menang, kita semua perlu cakna kerana ianya memberi gambaran kepada kita mengenai siri-siri pencerobohan tanah di serata negeri Pahang yang lain. 

“Semoga keputusan tidak memihak kepada para penceroboh dan pengaut hasil haram. Insya-Allah. Amin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button