Berita UtamaDunia

Pakatan Arab Saudi didakwa sengaja serang lapangan terbang Sana’a

Rakyat Yaman alami masalah kesihatan serius perlukan rawatan

SANA’A, 21 Rabiuakhir 1442H, Isnin – Gelombang serangan udara terbaharu oleh pakatan pimpinan Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Sana’a dilihat sebagai satu percubaan untuk menjadikan fasiliti itu tidak berfungsi dan tak dapat dibuka semula untuk penerbangan komersial, dakwa pengarah urusan lapangan terbang itu.

Khaled al-Shayef berkata, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) adalah pelanggan eksklusif lapangan terbang Sana’a, dan serangan itu mengecewakan rakyat Yaman yang sakit dan memerlukan rawatan di luar negara kerana keadaan perubatan mereka yang serius.

Beliau menekankan bahawa kos ekonomi akibat sekatan udara dan penutupan lapangan terbang Sana’a yang dipimpin oleh Arab Saudi juga berada pada tahap yang sangat tinggi.

“Tuduhan yang dibuat oleh pakatan Arab Saudi terhadap lapangan terbang Sana’a bukanlah sesuatu yang baru, dan merupakan usaha untuk menyesatkan pendapat masyarakat dunia dan memberikan alasan untuk melakukan serangan berulang ke atasnya,” kata Khaled.

Khaled berharap PBB dapat memberi pendirian jelas berkenaan dengan pembukaan semula lapangan terbang terutama sekali penerbangan untuk tujuan kemanusiaan.

Beliau menekankan bahawa lapangan terbang itu bersedia menerima pelbagai penerbangan komersial dan kargo.

Pada hari Jumaat, gerakan Ansarullah Yaman mengatakan serangan udara di lapangan terbang baru-baru ini menunjukkan dan kebingungan pakatan pimpinan Riyadh.

Arab Saudi dan sejumlah sekutu serantau melancarkan perang ke atas Yaman pada bulan Mac 2015, dengan tujuan untuk mengembalikan pemerintahan bekas Presiden Abd Rabbuh Mansur Hadi dan menghancurkan Ansarullah. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button