Berita Utama

Pembelajaran tulisan Jawi di SJK, SK diteruskan

Untuk murid Tahun 4 hanyalah proses pengecaman yang perlu dipelajari

BANGI, 21 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Pengajaran dan pembelajaran tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dan Sekolah Kebangsaan (SK) pada 2021 diteruskan.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Pendidikan, Muslimin Yahaya berdasarkan keputusan Jemaah Menteri pada 14 Ogos tahun lalu yang memutuskan supaya pengenalan tulisan Jawi tetap diteruskan di SJK dan SK.

“Inilah keputusan dibuat Jemaah Menteri dan pada dasarnya kita mengikut arahan diputuskan oleh Jemaah Menteri.

“Elemen pengukuhan Jawi dalam kalangan murid dilaksanakan melalui aktiviti pengayaan seperti membina modul pemulihan Jawi dengan lebih mudah dan menarik untuk murid yang kurang menguasai Jawi,” katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan tambahan Sabri Azit (Pas-Jerai) mengenai sama ada kerajaan akan meneruskan pembelajaran tulisan Jawi di SJK dan SK.

Mengulas lanjut, Muslimin berkata, asas pengajaran tulisan Jawi kerana ia adalah sebahagian daripada seni, warisan dan sejarah yang perlu dihargai dan diperkayakan.

“Sebenarnya (pengajaran) tulisan Jawi bukan seperti yang dimomokkan sesetengah pihak, kita bukan mengajar menulis dan membaca atau mengajar 30 huruf dalam ‘Alif, ba, ta’. Ini sekadar proses pengecaman.

“Contohnya dalam wang kertas kita ada tulisan Jawi di belakangnya. Ada tulisan Bank Negara Malaysia dan Ringgit Malaysia dalam tulisan Jawi. Jadi, dalam pengenalan tulisan Jawi bagi (murid) Tahap 2 Tahun 4 bermula tahun ini, hanyalah proses pengecaman yang perlu mereka pelajari,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button