Berita Utama

Pergolakan politik Perak taktik UMNO beri tekanan pada Muhyiddin

UMNO bimbang saingan Bersatu yang semakin dapat sokongan rakyat

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 21 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Senario politik Perak yang sedang bergolak ketika ini, dilihat bagai satu perancangan UMNO untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pensyarah Kanan Pengajian Politik di Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr Mazlan Ali tidak menolak kemungkinan pergolakan berlaku kerana UMNO terdesak untuk memaksa Muhyiddin segera membubarkan Parlimen. 

“Tindakan UMNO di Perak ini adalah susulan dari awal UMNO menarik diri daripada menyertai gabungan Perikatan Nasional.

“Ia kemudian disertai dengan dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya beliau memiliki bilangan sokongan yang cukup untuk menubuhkan kerajaan baru, dengan sokongan UMNO dan lain-lain.

“Tekanan demi tekanan dilakukan, sehingga terdapat sebilangan pemimpin UMNO mendakwa pentadbiran Muhyiddin tidak berlaku adil apabila tidak memberikan jawatan-jawatan kanan terhadap parti itu yang memiliki Ahli Parlimen paling ramai,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Bukan itu sahaja, beberapa pemimpin UMNO juga kemudiannya memberi ‘kata dua’ bahawa mereka tidak akan menyokong Belanjawan 2021 sekiranya Muhyiddin dan kerajaan PN tidak mempertimbangkan beberapa tuntutan dan cadangan UMNO.

Cadangan itu termasuk isu moratorium dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata Dr Mazlan.

“Sikap kritikal UMNO terhadap kerajaan PN ini menurut hemat saya adalah berpunca daripada kebimbangan UMNO terhadap survival mereka dan saingan Bersatu yang kelihatan menjadi semakin kuat dan mendapat sokongan besar rakyat. 

“Kejayaan Bersatu menguasai tampuk pemerintahan Sabah dengan sokongan besar rakyat Sabah terhadap kepimpinan Muhyiddin menambahkan lagi kebimbangan UMNO.

“UMNO juga merasa kecewa dengan sikap PAS yang dilihat lebih rapat terhadap Bersatu berbanding UMNO,” katanya.

Berikutan itu, Dr Mazlan berpandangan bahawa tindakan usul percaya dikemukakan UMNO, Jumaat lalu yang menyaksikan peletakan jawatan Menteri Besar, dilihat sebagai satu proses yang sangat janggal dan boleh memecah-belahkan perpaduan parti-parti dalam PN.

“Ini juga saya menilai sebagai satu lagi bentuk tekanan terhadap Muhyiddin oleh UMNO dan sekiranya MB daripada UMNO, saya fikir mungkin parti-parti dalam PH akan bergabung dengan UMNO terutamanya Amanah dan PKR.

“DAP pula mungkin akan menyokong Menteri Besar dari UMNO, tetapi besar kemungkinan tidak akan memainkan peranan aktif dalam kerajaan yang akan dibentuk,” katanya.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah berbincang dengan semua parti dalam usaha membentuk kerajaan baharu di Perak, sama ada dalam PN mahupun PH.

DAP Perak pula menyatakan bahawa mereka sedia bekerjasama dengan UMNO ‘demi kepentingan rakyat’ bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil.

Sementara, PAS Perak pula menzahirkan komitmen untuk mempertahankan kerajaan PN di negeri itu.

DUN Perak merangkumi 25 ADUN Barisan Nasional yang kesemuanya UMNO, DAP (16), PAN (5), BERSATU (5), PKR (3), PAS (3) manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button