Berita Utama

Premis Al-Ikhsan dimasuki babi jalani proses sertu

Syarikat rugi RM20,000 berikutan pelupusan produk terjejas

PUTRAJAYA, 21 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Angkara kunjungan tak diundang seekor babi hutan di premis perniagaan peralatan sukan Al-Ikhsan, Alamanda, pengurusannya hari ini menjalankan proses sertu dengan dipantau Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). 

Pengurus Kawasan Al-Ikhsan Lembah Klang, Saiful Adam berkata, ketika kejadian berkenaan,  terdapat 12 pekerja dalam premis dengan beberapa pelanggan dan ia berlaku agak pantas sebelum pihak bomba datang menghalau haiwan itu.   

Saiful berkata, pihaknya mengambil langkah menjalankan proses sertu untuk membersihkan premis itu mengikut cara umat Islam bagi meyakinkan orang ramai.

Katanya, syarikat menanggung kerugian hampir RM20,000 berikutan perlu melupuskan barangan yang terkena haiwan liar berkenaan seperti kasut, seluar dan jersi yang dipamerkan ketika kejadian.

“Sebarang kesulitan yang timbul amat dikesali dan kami akan sentiasa melakukan yang terbaik untuk menjamin keyakinan pelanggan,” katanya.

Proses sertu itu bermula 10 pagi dan berakhir dua jam kemudian, disertai 15 kakitangan JAWI termasuk Bahagian Kajian jabatan itu dan 10 kakitangan Al-Ikhsan.

Ketua Penolong Pengarah Kanan JAWI Putrajaya, Mastuyah Sahari berkata,

pihak Al-Ikhsan berkata, proses penyucian itu terlebih dahulu melibatkan kerja mengesan dan menghilangkan a’in atau kesan zahir seperti jejak air liur, tapak kaki dan darah.

“Selepas itu dibasuh seluruh laluan tersebut dengan air tanah yang disusuli air bersih mutlak sebanyak enam kali sebelum dikeringkan. Ia ambil masa sebab kedai ini agak luas,” katanya.

Sementara kawasan koridor di pusat beli-belah itu pula diuruskan sendiri pasukan petugas Alamanda dan ia hanya melibatkan tempat yang jelas ada kesan a’in oleh haiwan berkenaan.

Katanya, pihak Jawi percaya babi hutan itu lari dari Taman Wetland Putrajaya yang mungkin disebabkan setiap minggu ada operasi pemutihan haiwan dijalankan Perbadanan Putrajaya. 

Semalam tular di media sosial, visual haiwan liar itu memasuki pusat beli belah Alamada sekitar jam 12.30 tengah hari dan berlegar-legar di premis pusat menjual barangan sukan itu.

Haiwan liar yang tersesat itu kemudiannya diusir keluar oleh anggota bomba ke sebuah padang ragbi berdekatan pusat beli belah itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button