Kolumnis

UMNO akan hilang sokongan Melayu jika bekerjasama dengan DAP

Jaga ego serta pastikan luka lama tidak berdarah kembali

SAYA mengikuti secara dekat perkembangan politik negeri Perak, tanah tumpah darahku, walaupun agak membosankan, dengan isu perebutan kuasa, yang tidak sepatutnya berlaku, ketika negara dilanda pandemik COVID-19. Rakyat sedang susah, jangan disusahkan lagi. Sebaik-baiknya, berilah khabar gembira.

Semua parti ada yang salah. Setiap parti politik (manusia) ada kelemahan, tidak ada yang sempurna dalam dunia ini. Apa yang penting sekarang ini adalah untuk mengurus ego masing-masing, agar perpecahan tidak terus melebar.

UMNO, jangan tinggal PAS dan PPBM, kerana di situlah kekuatan UMNO selaku ‘big brother’ sebenarnya untuk kembali berkuasa. Tidak ada parti yang boleh berkuasa bersendirian.

UMNO janganlah nampak terdesak sangat sehingga sanggup bekerjasama dengan ultra kiasu DAP (PH). Takkan nak jilat ludah balik. UMNO akan hilang sokongan Melayu, jika itu berlaku.

Sudah tertutup semua pintu perbincangan dengan Perikatan Nasional (PN)? Suka atau tidak, PN tidak boleh ditinggalkan.

Jika berebut negeri Selangor, berbaloi juga, negeri kaya. Ini negeri Perak sahaja. Dahulu memang kaya, sekarang tidak sekaya dahulu. Perak hanya sebuah negeri, banyak negeri lain lagi.

Penyatuan UMNO, PAS dan PPBM amat penting kepada survival politik negara bertuah ini daripada jatuh ke tangan musuh. Tidak ada parti yang boleh memerintah secara bersendirian.

Saling perlu-memerlukan. Jangan biarkan keseorangan. Hati-hatilah bila mengeluarkan kata-kata, kerana kadangkala ianya mengguris dan melukakan. Luka di tangan nampak berdarah, masalah luka hati. Menyimpan lama. Akhirnya, meletup di negeri Perak.

UMNO, PAS, PPBM adalah majoritinya ‘parti sebangsa, seagama’. Takkan lebih teruk daripada ultra kiasu?

Ini belum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sudah bergaduh bagai nak rak. Bayang menjelang PRU15 nanti. Isu paling besar, soal pembahagian kerusi, contoh paling pahit ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Jika sekarang tidak boleh bersetuju untuk tidak bersetuju, dan duduk semeja, bayangkan nanti.

Jika dalam keadaan hayat Muafakat Nasional (MN) dan PN yang baharu setahun jagung sudah berantakan, bagaimana nak merancang untuk 100 tahun.

Adakah MN dan PN wujud hanya untuk kepentingan politik menang pilihan raya atau ada wawasan lebih jauh daripada itu? Fikirkan kepentingan anak bangsa dan agama untuk jangka panjang.

Jika merancang sekadar menang pilihan raya, nampak singkat sangat pemikiran kita.

Jangka panjang, jauh lebih penting daripada jangka pendek. Masa depan lebih penting daripada masa kini.

Saya merayu kepada UMNO, yang dilabelkan sebagai ‘big brother’, pastikan label ‘big brother’ itu mematangkan. Bukan melebarkan lagi ego. Tugas besar UMNO adalah perkukuhkan PN, walaupun pahit berhadapan dengan PPBM.

PPBM perlu ingat, kamu datangnya daripada UMNO. Luka UMNO bertambah dalam apabila kamu melompat. Memang sukar untuk UMNO menerima, tetapi itulah realiti.

UMNO tidak perlu lagilah ulang-ulang menyeru PPBM kembali kepada UMNO. Sukar untuk berlaku dalam jangka masa pendek ini. Bila hati telah retak. Teruskan usaha untuk perkukuhkan UMNO, sebab dalam UMNO sendiri, ramai tidak berperangai seperti UMNO dahulu.

PPBM jangan bawa perangai lama. Uruskan ego, walaupun hari ini, mungkin kamu berkuasa. Esok lusa bila berlaku PRU15, keadaan mungkin berbeza. Perkukuhkan parti sendiri. Pastikan ia ada identiti sendiri, lain sedikit daripada UMNO dan PAS.

Kepada PAS pula, dahulu kamu susah. Sudah mengajar kamu erti ikhlas dalam berjuang. Kini, mungkin dah senang sikit sebab berada dalam kerajaan. Teruskan berjuang dengan ikhlas. Damaikanlah UMNO dan PPBM.

Jangan termakan dengan hasutan musuh. Dalam laman media sosial hari ini, musuh-musuh sedang menghasut, untuk mempercepatkan terkuburnya hayat MN dan PN, agar mereka dapat berkuasa kembali. Adakah ini yang kita mahu?

Membina mengambil masa lama, meruntuh sekelip masa sahaja.

PAS mesti terus kuat berusaha untuk terus menyatukan UMNO dan PPBM.

Permusuhan antara keduanya memang tidak dapat dielakkan selepas kemelut negeri Perak ini.

Saya amat memahami kedudukan UMNO selaku parti yang mendapat kerusi yang terbanyak, tetapi terpaksa mengalah dalam banyak perkara disebabkan oleh kesilapan yang dilakukan pada masa lalu.

Ramai dalam kalangan kita marah kepada UMNO, kenapa sanggup jatuhkan Menteri Besar Perak? Kenapa sanggup tikam belakang? Apakah erti muafakat? Apa makna persaudaraan dan berbagai lagi persoalan dilontarkan.

Andainya kita berada di tempat UMNO, agak-agaknyalah, apa yang kita akan lakukan.

Parti yang paling banyak merusi, tetapi seolah-olah ‘tersisih’.

Benar, semuanya berpunca daripada UMNO (BN) yang telah memerintah lebih 60 tahun. Berbaloikah untuk mengorek semua cerita lama itu? Mari semua kita ‘move on’.

Jangan biarkan semua parti ini bersendirian, seperti PAS nampak sendirian dalam isu kuil di Kedah. UMNO buat senyap sahaja. Sedangkan lambakan kuil haram ini semuanya pada zaman UMNO (BN) lagi.

UMNO, PAS dan PPBM perlu kuat, dengan gabungan parti-parti Bumiputera ke Sabah dan Sarawak.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button