Tarbiyah

Wanita perlu ada sifat ‘afifah

Semoga Allah bimbing kita para wanita ke jalan diredai

SECARA bahasa, ‘iffah adalah menahan. Ada pun secara istilah agama, ‘iffah ialah menahan diri sepenuhnya dari perkara-perkara yang Allah SWT haramkan.

Islam menuntut seorang wanita itu memiliki sifat ‘iffah untuk menjadi seorang wanita yang ‘afifah. Sebab, akhlak ini merupakan akhlak yang tinggi, mulia, dan dicintai oleh Allah SWT. Akhlak ini merupakan sifat hamba-hamba Allah yang solehah yang senantiasa mengharapkan keredaanNya. Seorang wanita yang ‘afifah takut akan kemurkaan dan azab-Nya. Inilah sifat seseorang muslimah sejati.

Di antara sifat ‘iffah yang harus ada pada seseorang wanita muslimah yang menutup auratnya dalam menjaga kehormatannya ialah:

1. Menundukkan pandangan mata (ghadhul bashar) dan menjaga kemaluannya.

Allah SWT berfirman,
وَقُل لِّلۡمُؤۡمِنَٰتِ يَغۡضُضۡنَ مِنۡ أَبۡصَٰرِهِنَّ وَيَحۡفَظۡنَ فُرُوجَهُنَّ
“Katakanlah kepada wanita-wanita mukminah: Hendaklah mereka menundukkan pandangan mata mereka dan menjaga kemaluan mereka….” (an- Nur: 31)

2. Tidak keluar musafir (safar) bersendirian tanpa didampingi mahramnya yang akan menjaga dan melindunginya dari gangguan.

Rasulullah SAW bersabda,
لاَ تُسَافِرِ امرَأَةٌ إِلاَّ مَعَ ذِي مَحْرَمٍ
“Tidak boleh seorang wanita melakukan safar kecuali didampingi mahramnya.” (HR. al-Bukhari dan Muslim)

3. Tidak berjabat tangan dengan lelaki yang bukan mahramnya kerana bersentuhan dengan berlainan jenis akan membangkitkan gejolak di dalam jiwa yang akan membuat hati itu cenderung kepada perbuatan keji dan hina.

Syaikh Abdul Aziz bin Abdillah bin Baz r.a. berkata,
Secara mutlak tidak boleh berjabat tangan dengan wanita yang bukan mahram, sama sahaja apakah wanita itu masih muda ataupun sudah tua. Sama sahaja apakah lelaki yang berjabat tangan denganya itu masih muda atau tua. Sebab, berjabat tangan seperti ini akan menimbulkan godaan bagi kedua-dua pihak.

Aisyah r.a berkata tentang Rasulullah SAW,
مَا مَسَّتْ يَدُ رَسُوْلِ اللهِ يَدَ امْرَأَةٍ إِلاَّ امْرَأَةً يَمْلِكُهَا
“Tangan Rasulullah SAW tidak pernah menyentuh tangan wanita, kecuali tangan wanita yang dimilikinya.” (HR. al-Bukhari)

4. Menjaga ikhtilat. Tidak khalwat (berduaan) dengan lelaki yang bukan mahram.

Rasulullah SAW telah memperingatkan dalam sabdanya yang agung,
لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُوْ مَحْرَمٍ
“Tidak boleh sama sekali seorang lelaki bersunyian dengan seorang wanita kecuali bila bersama wanita itu ada mahramnya.” (HR. al-Bukhari dan Muslim)

5. Menjaga diri dari hal-hal yang lagha yang dapat mendatangkan kelalaian dalam ibadah dan menyibukkan diri dengan perkara² yang dapat memberi manfaat kepada Islam khususnya.

Sememangnya usaha yang dilakukan untuk memiliki ‘iffah tidak mudah. Begitu banyak ujian di zaman ini yang mudah sahaja membuatkan para wanita tertewas sekiranya iman hanya senipis kulit bawang. Perlunya mujahadah yang bersungguh-sungguh dengan memohon pertolongan Ilahi. Lazimi zikir, istighfardan taubat dalam menempuhi kehidupan. Moga Allah melindungi kita semua.

Allah SWT menyatakan,

وَٱلَّذِينَ جَٰهَدُواْ فِينَا لَنَهۡدِيَنَّهُمۡ سُبُلَنَاۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ
Orang-orang yang bersungguh-sungguh mencari keredaan Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Sesungguhnya Allah benar-benar berserta orang-orang yang memperbaiki amalannya ” (al-Ankabut: 69)

Semoga Allah membimbing kita para wanita ke jalan yang diredai olehNya. Amiin.

Noraslina Abd Rahman
Aktivis Ikatan Muslimin Malaysia
Cawangan Nilai

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button