Berita UtamaDunia

1 maut, lebih 450 masuk hospital kerana penyakit misteri di India

Siasat bekalan air di 20 lokasi berhampiran bandar Eluru

CHENNAI, 22 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Sekurang-kurangnya seorang maut manakala lebih 450 lagi dimasukkan ke hospital akibat jangkitan yang tidak diketahui punca, di selatan India.

Pegawai kanan jabatan kesihatan berkata, jangkitan itu menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri, sawan dan mual.

Menurut kenyataan Pihak Berkuasa Kesihatan Negeri Andhra Pradesh, lebih 200 pesakitnya dibenarkan keluar dari hospital hujung minggu lalu dan daripada ujian awal dijalankan menunjukkan mereka dijangkiti COVID-19.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan terus menjalankan ujian serologi bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Punca jangkitan belum diketahui lagi,” kata kenyataan itu sambil menjelaskan pesakit itu daripada pelbagai kumpulan peringkat usia.

Sementara itu, seramai tiga pakar perubatan melalui Kementerian Kesihatan India akan dihantar bagi menyiasat punca penularan jangkitan yang telah menjangkiti lebih 300 kanak-kanak.

“Kanak-kanak terbabit dilaporkan mengalami pening, mual, pengsan, sakit kepala dan muntah-muntah,” kata kementerian itu.

Kementerian itu berkata, pihaknya sedang menjalankan pemeriksaan dari pintu ke pintu rumah penduduk di kawasan terbabit.

Pengarah Kesihatan Awam Negeri Andhra Pradesh, Geeta Prasadini berkata, Jabatan Kesihatan Negeri turut maklum ketika kes pertama dikesan hujung minggu lalu, disusuli kematian lelaki berusia 27 tahun.

“Kami akan mengambil sampel darah bagi menyiasat serologi dan ujian bakteria bagi mengesan sebarang jenis meningitis,” katanya.

Selain itu, pihak berkuasa turut menyiasat bekalan air di 20 lokasi berhampiran bandar Eluru yang dikatakan menjadi punca penularan penyakit berkenaan. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button