Berita UtamaDunia

Pakatan AS, Britain serang utara Yaman

Belum ada pengesahan daripada gabungan maritim di Laut Merah

SANA’A, 20 Rejab 1445H, Khamis – Kumpulan pejuang Houthi Yaman berkata, gabungan maritim Amerika Syarikat (AS) dan British melancarkan serangan ke atas bandar Saada di utara Yaman.

Serangan itu menyasarkan tapak di bahagian utara bandar itu, lapor TV al-Masirah kendalian Houthi, tanpa memberikan butiran lanjut.

Setakat ini, belum ada pengesahan daripada gabungan itu.

Gabungan maritim AS-British yang ditempatkan di Laut Merah telah melakukan beberapa serangan ke atas tapak pelancar peluru berpandu Houthi di seluruh utara negara itu.

Tindakan itu disifatkan gabungan berkenaan sebagai percubaan untuk menghalang Houthi daripada melancarkan serangan lanjut ke atas talian perkapalan di Laut Merah.

Houthi telah melakukan beberapa serangan ke atas perkapalan Laut Merah mengatakan, mereka hanya menyasarkan kapal komersial yang berkaitan dengan Israel untuk mendesak negara haram itu menamatkan serangannya ke atas Semenanjung Gaza.

Sebelum ini, Houthi mengaku bertanggungjawab menyasarkan kapal perang tentera laut AS di Laut Merah serta mengisytiharkan bahawa semua kapal perang AS dan British adalah sasaran sah bagi kumpulan itu.

Ia sebagai tindakan balas terhadap serangan pakatan gabungan itu ke atas kedudukan kumpulan Houthi di utara Yaman.

Terdahulu, AS menamakan semula Houthi sebagai ‘kumpulan pengganas antarabangsa’ selepas serangan peluru berpandu berulang kali kumpulan itu ke atas kapal komersial di Laut Merah dan Teluk Aden.

Kumpulan Houthi telah menguasai sebahagian besar utara Yaman, termasuk ibu kota Sana’a dan bandar pelabuhan strategik Laut Merah Hodeidah sejak perang saudara meletus pada akhir 2014.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button