Berita Utama

E-rokok, vape dikenakan duti eksais 10 peratus

Pengilang tempatan mesti mohon lesen di jabatan kastam negeri

KUALA LUMPUR, 22 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Duti eksais akan dikenakan ke atas peranti rokok elektronik dan bukan elektronik serta cecair dan gel untuk peranti berkenaan mulai 1 Januari, kata Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, duti eksais untuk peranti rokok elektronik dan bukan elektronik akan dikenakan cukai ad valorem (mengikut nilai) 10 peratus.

Sementara cecair atau gel peranti rokok elektronik serta vape yang tidak bernikotin pula berharga RM0.40 per mililiter (ml).

“Duti eksais akan dikenakan ke atas barang-barang tersebut semasa diimport dan pelepasan oleh pengilang tempatan.

“Pengilang tempatan mesti dilesenkan di bawah Seksyen 20 Akta Eksais 1976 dengan pembayaran RM4,800 setahun sementara pembayaran untuk lesen gudang adalah RM2,400 setahun di bawah Seksyen 25 akta yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pengilang tempatan mesti memohon lesen di jabatan kastam zon atau negeri masing-masing di mana sesebuah kilang atau gudang beroperasi sebelum 15 Disember, katanya.

Abdul Latif berkata, surat permohonan lesen eksais perlu dikemukakan bersama borang JKDM nombor 1 yang lengkap diisi serta sijil pendaftaran perniagaan atau syarikat di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Mereka juga mesti mempunyai lukisan dan lakaran premis pembuatan, dan senarai bahan mentah dan barang siap.

“Mereka juga harus menyediakan carta aliran proses pembuatan, kapasiti pengeluaran bagi setahun dan pengakuan kandungan nikotin dalam cecair atau gel rokok elektronik.

“Semua pemegang lesen mesti mematuhi syarat pelesenan dan memberikan jaminan bank untuk memastikan keselamatan tugas dan cukai,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button