Berita Utama

Esok penentu penceroboh tanah boleh dihalau atau tidak

Ayuh beri sokongan supaya peguam, hakim dapat buat keputusan wajar

BANGI, 22 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Esok penentu keputusan permohonan pendengaran kes semakan kehakiman yang difailkan 111 pekebun durian Raub bagi mengetepikan notis pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan Pahang.

Serentak itu, Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya mengajak mereka yang berkelapangan untuk ke Mahkamah Tinggi Kuantan Pahang bagi memberikan sokongan moral kepada peguam.

“Mudah-mudahan para peguam dapat berbicara dengan baik manakala hakim dapat membuat keputusan yang sewajarnya. Kita ikhtiar sahaja apa yang termampu.

“Ini sebagai tanda solidariti rakyat bagi menyokong pihak penguat kuasa mengambil tindakan terhadap mereka-mereka yang menyalahi undang-undang walaupun mereka dilengkapi dengan peguam, ahli-ahli politik dan ‘backup’ yang luar biasa,” katanya.

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 9 Disember esok bakal menentukan nasib pekebun haram durian Musang King, sama ada dihalau keluar atau pun sebaliknya.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zainal Azman Ab Aziz menetapkan Rabu ini untuk pendengaran kes semakan kehakiman yang difailkan 111 pekebun durian Raub, bagi mengetepikan notis pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan Pahang terhadap mereka.

Keputusan itu dibuat setelah mendengar hujah kedua-dua pihak plaintif yang diwakili peguam, Siew Choon Jern dan Brendan Siva serta responden-responden yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Noor Fadzila Ishak dalam sebutan kes pada 28 Oktober lalu.

Kegiatan pencerobohan 4,400 hektar tanah di Raub itu menyebabkan kerajaan Pahang mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun melalui hasil cukai dari kebun haram termasuk kawasan hutan simpan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button