Berita Utama

Himpunan 812 bukti suara rakyat tak boleh dipandang ringan

NGO main peranan, lakukan sesuatu untuk masa depan negara

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 22 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Kejayaan Himpunan Bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) – Himpunan 812 – pada 2018 menjadi bukti suara rakyat tidak boleh dipandang ringan.

Pada 8 Disember 2018, Himpunan 812 yang berjaya mengumpulkan lebih 600,000 peserta berjalan dengan aman dan teratur – mencapai objektif utama untuk menghentikan sebarang ratifikasi konvensyen dan triti antarabangsa yang ingin ditandatangani kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, himpunan itu bukan sahaja menghimpunkan pimpinan orang Melayu, malah menghimpunkan rakyat dalam jumlah ramai.

Perkara sama berlaku di luar negara termasuk Mesir, di mana apabila rakyat bersatu dengan satu matlamat, maka sesebuah kerajaan boleh ditumbangkan, katanya.

“Ini membuktikan bahawa kesatuan sangat besar maknanya dengan kerjasama daripada pihak parti, NGO (badan bukan kerajaan) dan masyarakat biasa.

“Ada bidang-bidang tertentu di mana NGO boleh mainkan peranan penting, selama ini orang ingat hanya parti boleh menentukan masa depan negara.

“Tetapi hakikatnya NGO sedikit sebanyak dapat melakukan sesuatu dalam membentuk masa depan negara yang memerlukan sokongan semua pihak,” katanya dalam siaran langsung Forum Menyingkap Himpunan 812, di TV Pertiwi hari ini.

Mengulas lanjut, Haji Aminuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) berkata, Himpunan 812 bukan sahaja memberi signifikan di seluruh negara, malah mendapat perhatian seluruh dunia termasuk Indonesia dan Turki.

Beliau berkata, seluruh dunia melihat himpunan itu sebagai satu kebangkitan baharu, di mana rakyat bangkit mempertahankan hak mereka.

Pada masa sama, beliau menafikan himpunan berkenaan sebagai rasis dan hanya membabitkan orang Melayu.

“Kita hanya pertahankan isu ICERD daripada diratifikasikan kerana kita tahu bahawa kalau kita berbuat demikian bermakna kedaulatan negara akan terjejas.

“Dan kedudukan orang Melayu selaku bangsa utama dalam negara turut akan terjejas. Sebab kalau kita lihat dalam ratifikasi, antara keutamaanya adalah membenarkan penukaran agama. Jika ini berlaku, bermakna negara kita akan huru-hara.

“Terbukti himpunan ini berjaya halang kerajaan daripada meneruskan agenda mereka,” katanya.

Himpunan 812 adalah antara titik tolak bermulanya sebuah lembaran baru kepada kesatuan NGO-NGO Melayu Islam yang langsung menebas laluan kepada penyatuan dua parti terbesar Melayu Islam iaitu PAS dan UMNO melalui platform penyatuan ummah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button