Berita UtamaIstimewa

Kalah kes ceroboh di Raub esok bukti sistem negara kini pincang

Sudah terang lagi bersuluh pekebun ceroboh untuk tanaman Musang King

BANGI, 22 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Keputusan kes pencerobohan tanah kerajaan di Raub, Pahang esok bakal menentukan dua kemungkinan kepada sistem negara.

Sekiranya keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan berpihak kepada rakyat dan kerajaan Pahang sebagai pemilik tanah, bermakna undang-undang diletakkan lebih tinggi daripada mana-mana pihak.

Ia juga menjadi hujah kuat untuk mana-mana kerajaan mengambil haknya daripada terus ‘dicuri’ penceroboh terutama berkaitan tanah, kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya.

“Kemenangangan kes juga menjadi hujah kuat untuk penguatkuasa daripada pelbagai agensi kerajaan untuk mengambil tindakan kepada mereka yang menceroboh dan menyalahi undang-undang.

“Ia juga sebagai manifestasi kesatuan suara rakyat adalah penting sebagai sebuah kuasa pendesak agar sebarang kompromi dan ‘deal’ ahli-ahli politik dalam kes sebegini dapat digagalkan.

“Dan sebagai amaran keras kepada mereka yang melanggar undang-undang dan mereka yang salah guna kuasa untuk berhenti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Esok adalah hari untuk pendengaran kes semakan kehakiman yang difailkan 110 pekebun durian Raub, bagi mengetepikan notis pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan Pahang terhadap pekebun durian.

Pekebun durian terlibat memfailkan permohonan itu dengan menamakan enam responden iaitu Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, kerajaan negeri Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Selain untuk menyemak arahan pengosongan tanah di bawah Kanun Tanah Negara 1965 dan Akta Perhutanan Negara 1984, pemohon juga mahu mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan negeri yang didakwa memberikan pajakan serta hak penggunaan tanah kebun seluas kira-kira 2,167 hektar (5,357 ekar) kepada syarikat Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Pemohon juga mahu menyemak keputusan pemberian subpajakan tanah terlibat kepada mereka dan kewajipan mandatori untuk menjual durian itu kepada satu-satu entiti yang dicalonkan oleh Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd. 

Bagaimanapun, Aminuddin berkata, sekiranya keputusan itu berlaku sebaliknya dan memihak kepada pekebun haram, ia membuktikan bahawa berlaku kepincangan dalam sistem negara.

“Ahli-ahli politik dengan mudah boleh campur tangan dalam membela mereka yang menyalahi undang-undang.

“Sebelum berbicara lanjut, kita perlu fahami bahawa memang sudah terang lagi bersuluh bahawa mereka ini memang menceroboh untuk menanam Musang King dan ini telah diakui sendiri oleh mereka,” katanya.

Namun, akibat campur tangan politik, isu itu akhirnya dicabar di mahkamah melalui semakan kehakiman, kata Aminuddin.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button