Berita Utama

Kerajaan kaji RCI Tabung Haji

THP belum umum transaksi jual ladang kelapa sawit nilai rendah

KUALA LUMPUR, 22 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Kerajaan sedang mempertimbang cadangan mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan Tabung Haji (TH), khususnya dari aspek perundangan dan kaedah pelaksanaan supaya mencapai matlamat penubuhannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, cadangan penubuhan RCI itu telah dibincangkan pada mesyuarat jemaah menteri pada 18 Ogos lepas.

Jelasnya, kerajaan amat memahami perlunya satu badan bebas dan berautoriti dalam meneliti dan menilai segala transaksi yang dilakukan TH.

“Segala yang dilakukan kerajaan adalah dengan niat suci untuk mencari titik penyelesaian yang boleh diterima semua pihak serta paling penting untuk memastikan segala urus tadbir TH menepati kepentingannya sebagai institusi milik umat Islam di negara ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) mengenai langkah yang telah diambil kerajaan bagi mewujudkan suruhanjaya siasatan berkenaan.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Abdul Azeez mengenai sama ada TH Plantations Bhd (THP) telah menjual ladang kelapa sawit di Bintulu dan Sibu, Sarawak pada nilai yang lebih rendah, Zulkifli berkata, setakat ini, THP belum lagi membuat sebarang pengumuman awam berkenaan transaksi berkenaan. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button