Berita Utama

Kerajaan tak jadi jual aset TH Plantations kepada Tamaco

Tamaco perlu wujudkan pemilikan ekuiti, paling kurang 30 peratus kepentingan Bumiputera dalam tempoh satu tahun

BANGI, 22 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Kerajaan hari ini menarik balik keputusan menjual anak syarikat TH Plantations Bhd – Bumi Suria Ventures Sdn Bhd (BSV) dan Maju Warisanmas Sdn Bhd (MWM) – kepada Tamaco Plantation Sdn Bhd (Tamaco).

Perkara berkenaan diputuskan pada 4 Disember lalu berdasarkan situasi semasa dengan mengambil kira pelbagai faktor.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, pihaknya bertekad memajukan THP dan Lembaga Tabung Haji dengan lebih gah di dalam negara serta di persada antarabangsa

“Kami berdoa dan bermunajat kepadaNya semoga Allah SWT memberkati usaha kami dalam memartabatkan institusi TH,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Dilaporkan, permohonan perolehan hartanah secara tidak langsung oleh Tamaco melalui langganan 100 peratus saham dalam BSV dan MWM daripada TH Plantations adalah tertakluk kepada Garis Panduan Perolehan Hartanah yang berkuatkuasa sejak 1 Mac 2014.

Kenyataan itu memaklumkan, garis panduan itu menetapkan bahawa sebarang permohonan perolehan tanah secara langsung atau tidak langsung yang mengakibatkan pengurangan pemilikan hartanah kepentingan Bumiputera oleh bukan Bumiputera adalah tertakluk kepada pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus kepentingan Bumiputera.

“Berdasarkan ketetapan ini, surat kelulusan bertarikh 24 November 2020 dikeluarkan ke atas permohonan ini dengan syarat pihak Tamaco hendaklah mewujudkan pemilikan ekuiti sekurang-kurangnya 30 peratus kepentingan Bumiputera dalam tempoh satu tahun daripada tarikh surat kelulusan dikeluarkan.

“Kelulusan secara bersyarat ini diberi atas justifikasi yang diberikan oleh pihak TH Plantations demi kelangsungan operasi dan kestabilan kewangan syarikat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button