Berita Utama

Kes bunuh Altantuya: Hukuman mati Azilah kekal

Tiada alasan kukuh untuk mahkamah membenarkan semakan

PUTRAJAYA, 22 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan semakan yang dikemukakan bekas pegawai polis Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri bagi mengetepikan sabitan serta hukuman mati kerana membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Panel lima hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed secara sebulat suara memutuskan demikian selepas berpuas hati bahawa Azilah, 44, tiada alasan kukuh bagi membolehkan mahkamah membenarkan semakannya.

Justeru, hukuman gantung yang dikenakan terhadap Azilah adalah kekal, lapor Kosmo.

Permohonan Azilah itu membabitkan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari 2015, yang menolak pembebasan Azilah dan seorang lagi anggota UTK, Sirul Azhar Umar, 47, berhubung pembunuhan Altantuya.

Pada 2015, Mahkamah Persekutuan menegetepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati mereka bersalah melakukan jenayah itu. 

Susulan itu, Azilah memfailkan permohonan untuk semakan pada 5 Disember tahun lalu bersama-sama akuan berkanun (SD) setebal 32 muka surat yang mendakwa bahawa arahan untuk membunuh Altantuya adalah daripada Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu menyandang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Dalam pengakuan itu, Azilah mendakwa dia bersama Sirul hanya mengikuti arahan ‘shoot to kill’ (tembak mati) sebagai anggota pasukan UTK.

Azilah meminta agar sabitan serta hukuman mati yang dijatuhkan terhadapnya oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari 2015 diketepikan dan perintah agar kes itu dibicarakan semula.

Sementara itu, Mahkamah Persekutuan sebentar tadi juga memutuskan tidak membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mencelah dalam prosiding semakan kehakiman Azilah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button