Berita Utama

Kes kartel daging import: KPDNHEP sedang siasat

Siasatan awal dapati tiada daging babi ditemui di tempat kejadian

KUALA LUMPUR, 22 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang menjalankan siasatan berhubung kes kartel daging import haram di Senai, Johor baru-baru ini, kata Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata siasatan dilakukan di bawah Perenggan 8, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

“Setakat hari ini, pegawai penyiasat dalam proses mengumpul bukti-bukti, mengambil keterangan dan rakaman percakapan saksi-saksi serta mendapatkan maklumat dan dokumen lain daripada agensi yang berkaitan,” katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Nanta berkata demikian menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) mengenai perkembangan siasatan dan langkah tegas kementerian itu dalam menangani kes kartel daging import haram yang turut memproses daging babi di Senai.

Menteri itu berkata individu yang memperakui makanan, barang-barang atau perkhidmatan adalah halal yang bertentangan dengan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, boleh didenda tidak melebihi RM200,000 dan bagi kesalahan kedua dan berikutnya, boleh didenda maksimum RM500,000, jika sabit kesalahan.

“Siasatan lanjut juga akan dijalankan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 sekiranya didapati bahawa sumber produk tersebut diperolehi daripada sumber atau daging yang tidak halal,” katanya.

Nanta berkata siasatan awal turut mendapati tiada daging babi ditemui di tempat kejadian dan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut selepas siasatan selesai.

“Pemeriksaan dijalankan secara bersepadu dengan agensi lain khususnya dengan pegawai-pegawai daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri. Bermula 4 hingga 6 Disember 2020, sejumlah 128 premis telah diperiksa dan tiada tindakan diambil selain kes awal di Johor,” katanya.

Menurutnya, kementerian itu juga bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam isu melibatkan pengimportan produk daging sejuk beku.

“Kementerian tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana mana peniaga yang cuba mengambil kesempatan menggunakan perbahasaan halal secara palsu untuk memperdaya dan mengelirukan pengguna sehingga menyebabkan hak dan kepentingan mereka terjejas,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button