Dunia

Kritikal! Gaza kekurangan bekalan bahan uji COVID-19

Sistem kesihatan berisiko runtuh jika kes terus meningkat: UNRWA

GAZA, 22 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Kakitangan perubatan tidak dapat menjalankan ujian saringan di Semenanjung Gaza berikutan kekurangan bekalan bahan uji COVID-19 di tengah lonjakan kes di wilayah terkepung itu. 

Kementerian Kesihatan Gaza dalam satu kenyataan menggesa supaya tindakan segera diambil untuk menyediakan bekalan peralatan yang diperlukan bagi menyaring penduduk disyaki atau bergejala dijangkiti wabak. 

Kementerian berkata, satu-satunya makmal di wilayah itu yang dapat menganalisis sampel ujian COVID-19 telah menghentikan operasinya kerana kekurangan peralatan. 

“Kami tidak menerima sebarang bahan ujian selama empat hari terakhir,” kata Pengarah Makmal, Ameed Mushtaha. 

Katanya, pihak kementerian meminta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pihak Berkuasa Palestin (PA) segera menghantar bekalan perubatan ke Gaza.

Bagaimanapun, PA – yang memerintah wilayah Palestin di Tebing Barat – juga mengalami masalah kekurangan bahan uji dan mengharapkan bekalan daripada WHO. 

Agensi Kerja dan Bantuan Pelarian Palestin (UNRWA) memberi amaran bahawa sistem kesihatan di Semenanjung Gaza berisiko runtuh jika jumlah kes terus meningkat.

Difahamkan, PA akan menerima vaksin COVID-19 di bawah rancangan Kemudahan Akses Global Vaksin COVID-19 (COVAX). Vaksin itu turut diterima oleh Gaza. 

Bekas Menteri Kesihatan, Bassem Naim berkata, kakitangan perubatan biasanya melakukan antara 2,500 hingga 3,000 ujian saringan setiap hari dengan kos AS$75,000 hingga AS$100,000. 

“Terdapat keperluan mendesak untuk mengambil langkah-langkah menyelamatkan nyawa penduduk Gaza dan membendung krisis kesihatan,” katanya.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button