Berita Utama

Longgar PKPB bukan makna rakyat boleh abai SOP

Kebenaran rentas negeri beri ruang kepada sektor ekonomi, sosial negara

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 22 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) melalui kebenaran merentas negeri, bukan bermakna rakyat perlu mengabaikan prosedur operasi standard (SOP).

Rakyat masih tertakluk dengan SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengelakkan kes COVID-19 meningkat dan kluster baharu berlaku.

Walaupun jumlah kes kekal pada empat angka, rakyat masih berperanan memastikan pematuhan SOP dijaga memandangkan PKPB dan PKP Pemulihan (PKPP) masih dikuat kuasa di seluruh negara, kata Ketua Unit Kesihatan Awam I-Medik, Dr Mohd Ihsanuddin Abas.

“Kelonggaran yang diumumkan kerajaan sebenarnya dapat menyuntik semula ekonomi dan sosial negara.

“Mahu tidak mahu kita akan hidup dengan COVID-19. Sampai bila rakyat akan berkurung? Kita tidak boleh selamanya dalam PKPB kerana ekonomi perlu berjalan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Walaupun diberikan kelonggaran, beliau berkata, rakyat tetap perlu cakna dengan perkembangan semasa di tempat masing-masing.

Malah, katanya, pihak berkuasa juga disarankan melakukan pemantauan yang lebih ketat, terutama di kawasan awam, kedai makan dan tempat rekreasi.

“Kerajaan melalui MKN dan KKM juga perlu terus mendidik masyarakat mengenai kepatuhan SOP dan kewajiban memakai pelitup muka,” katanya.

Sabtu lalu, kerajaan mengumumkan penamatan PKPB secara berperingkat di beberapa kawasan termasuk memberi kelonggaran merentas negeri dan daerah di seluruh negara.

Menteri Kanan (Kluster Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, orang ramai dibenarkan melakukan perjalanan antara negeri mulai 7 Disember, kecuali kawasan yang dikenakan PKP Diperketatkan (PKPD).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button