Berita Utama

Murid dibenar pakai kasut hitam atau putih mulai tahun depan

Pemakaian stoking perlu ikut warna kasut yang dipakai: KPM

BANGI, 22 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Bermula sesi persekolahan tahun depan, semua murid sekolah rendah dan menengah dibenarkan untuk memilih sama ada memakai kasut berwarna hitam atau putih.

Penguatkuasaan itu dinyatakan menerusi Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Bilangan 4 Tahun 2020 bertarikh 7 Disember, setelah ia diputuskan dalam Mesyuarat Profesional KPM pada 17 November lalu.

Pekeliling yang ditandatangani Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim itu dikeluarkan kepada semua Ketua Bahagian dan Pengarah Pendidikan Negeri.

SPI itu menyebut bahawa murid dibenarkan memakai kasut berwarna hitam atau putih serta stoking mengikut warna kasut yang dipakai.

Kasut berwarna hitam hendaklah dipakai bersama-sama stoking berwarna hitam atau kasut berwarna putih hendaklah dipakai bersama-sama stoking berwarna putih, katanya.

“KPM juga telah menetapkan bahawa kasut adalah yang diperbuat daripada kanvas atau daripada bahan sintetik lainnya seperti nylon dan polyester yang mempunyai daya resap dan penyaluran gerak udara dengan mengambil kira faktor keselesaan, keselamatan dan kesihatan (3S).

“Dengan berkuatkuasanya SPI ini, maka Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 10 Tahun 2018: Pelaksanaan Pemakaian Kasut dan Stoking Berwarna Hitam Oleh Murid di Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia bertarikh 20 November 2018 adalah dibatalkan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button