Berita Utama

Pencemaran Sungai Selangor: Bekalan air tak dipotong

30 peratus pengguna di kawasan tinggi alami tekanan air rendah

BANGI, 22 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Tiada pemotongan bekalan air dalam kejadian pencemaran bau terbaharu di Sungai Selangor, kata Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian.

Beliau berkata, hanya sekitar 20 hingga 30 peratus pengguna yang berada di kawasan yang lebih tinggi terjejas berikutan tekanan air rendah.

“Loji rawatan air telah beroperasi kembali dan tekanan air kembali normal bermula jam 3 petang. Menjelang tengah malam, bekalan air akan kembali normal,” katanya setelah mengunjungi ladang ikan keli yang disyaki menjadi punca pencemaran.

Loy Sian mendakwa, pembuangan salah satu daripada 57 kolam ikan keli milik sebuah syarikat di situ, terus masuk ke Sungai Selangor.

Sebelumnya, terdapat kekeliruan di kalangan pengguna sama ada insiden pencemaran air mentah terbaru di Sungai Selangor akan mempengaruhi bekalan air mereka.

Dilaporkan bahawa loji rawatan air Rantau Panjang berhenti beroperasi pada jam 11.30 malam Isnin (7 Disember), sementara Fasa 1, 2 dan 3 loji rawatan air Sungai Selangor terpaksa berhenti pada jam 1 pagi Selasa (8 Disember) setelah merakam bacaan 4 ton.

Semalam, Air Selangor berkata, henti tugas operasi menyebabkan pemotongan bekalan air yang tidak dijadualkan di 1,274 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Pada 19 Oktober lalu, LRA yang sama turut dihenti tugas selepas pencemaran air sumber mentah dikesan di Sungai Selangor sekaligus menjejaskan 1.1 juta akaun pengguna.

Penduduk di Selangor telah mengalami sekurang-kurangnya 13 gangguan bekalan air tahun ini, dengan empat sahaja pada bulan Oktober lalu.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) baru-baru ini menubuhkan Skuad Pantas bagi pemantauan 24 jam tanpa henti di kawasan sensitif sungai-sungai di Selangor.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button