Berita Utama

Setuju kerjasama dengan UMNO hanya lakonan DAP

Sejarah pemerintahan PH buktikan DAP tak bawa kebaikan pada Islam, Melayu

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 22 Rabiulawal 1442H, Selasa – Keputusan DAP untuk menjalin kerjasama dengan UMNO di Perak, kononnya bagi membentuk kerajaan berbilang kaum yang ‘bersih, kukuh dan stabil’, disifatkan sebagai lakonan untuk menangkis tuduhan bahawa mereka adalah anti-Melayu dan Islam. 

Hakikatnya, parti tamak haloba itu hanya mahukan kuasa kerana DAP mahu mendapat lebih banyak kepentingan untuk bangsa mereka, kata pemerhati politik, Ustaz Sharipudin Abd Kadir. 

“Bila mereka berada dalam kerajaan baharu Perak, tuntutan utama mereka ialah jawatan EXCO kerajaan negeri.

“Dengan jawatan EXCO mereka akan memperoleh segalanya. Perkiraan mereka sebenarnya untuk mendapatkan sebanyak mungkin kepentingan untuk bangsa,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming kononnya – kesediaan untuk bekerjasama dengan UMNO adalah berpaksikan kepada prinsip membentuk kerajaan berbilang kaum yang bersih dan berintegriti. 

Kor Ming turut mendakwa, DAP adalah parti berjiwa besar yang sanggup meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai agenda keutamaan dan momokan DAP adalah ‘anti-Melayu atau anti-Islam’ selama ini adalah tidak benar sama sekali.

Bagaimanapun, kenyataan Kor Ming itu bertentangan dengan dakwaan Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Faizal Azumu tahun lalu yang pernah menyatakan kesukarannya untuk mentadbir negeri Perak bila bersama dengan EXCO DAP. 

Ketika itu, Ahmad Faizal berkata, banyak program dan projek yang berkaitan Melayu dan Islam ditentang oleh EXCO DAP semasa pemerintahan kerajaan PH dulu.

Mengulas perkara itu, Ustaz Sharipudin yakin sekiranya DAP bersama dengan dengan UMNO dalam kerajaan baharu nanti, senario yang sama akan berulang cuma bergantung atas kewibawaan menteri besar yang dilantik. 

“Tetapi sejarah pemerintahan PH telah membuktikan bahawa DAP tidak membawa apa kebaikan kepada Melayu dan Islam,” katanya lagi.

Melihat pada pakatan baharu yang mungkin dibentuk antara UMNO dan DAP, Ustaz Sharipudin berkata, belum dapat ditentukan sama ada kepimpinan UMNO mampu menangani perangai pemimpin parti cauvinis itu. 

Terutama sekali apabila isu pemberian pajakan tanah kampung-kampung baru selama 999 tahun sebagai janji manifesto oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu belum selesai.

“Yang jelas jika berlaku pakatan UMNO dan DAP, sudah jelas dan terang, kedua-dua parti ini hanya pentingkan kuasa dan harta. Bukannya untuk wujudkan perpaduan kaum.

“DAP tidak pernah buktikan mereka dapat bersatu dengan mana-mana parti, ini kerana agenda tersendiri DAP yang sentiasa bertentangan dengan budaya berparti di Malaysia. 

“Buktinya dari zaman Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan kini DAP berada dalam Pakatan Harapan yang sudah menjadi kerajaan pun mereka gagal untuk bersatu. Ada sahaja yang menyebabkan rakyat tidak puas hati terhadap tindakan mereka.

“DAP tidak berjaya menunjukkan sikap ‘Malaysian Malaysia’, yang mereka laungkan apabila imej mereka sendiri masih lagi ultra Cina malah lebih kuat. Buktinya penentangan terhadap Jawi yang menjadi polemik di dalam pendidikan,” katanya.

Ustaz Sharipudin turut mengimbau kembali sebuah rakaman video kontroversi yang tular ketika Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, di mana bekas menteri besar, Ahmad Faizal dilihat memberitahu penduduk mengenai kepayahannya menjaga kepentingan Melayu dan Islam kerana tidak sealiran dengan kehendak sekutunya dari DAP.

“Ini pengalaman bekas MB Perak ketika bersama DAP dalam kerajaan PH di Perak dulu.

“Tidak mustahil senario yang sama akan berlaku jika UMNO mengadakan pakatan kerajaan baru di Perak. Sama ada UMNO bertahan atau akan menunaikan semua tuntutan DAP demi kuasa dan pangkat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button